FABINHO (merah) diturunkan ketika saingan Piala Liga menentang Manchester City. -FOTO AFP
FABINHO (merah) diturunkan ketika saingan Piala Liga menentang Manchester City. -FOTO AFP
Agensi

London: Fabinho percaya Liverpool berada di kedudukan yang baik untuk mendapatkan manfaat daripada rehat Piala Dunia ketika pasukan Jurgen Klopp itu berusaha untuk mengejar saingan Liga Perdana mereka.

Selepas gagal memenangi gelaran kedua Liga Perdana apabila mengumpul 92 mata musim lalu, Liverpool kini menghuni tangga keenam liga, tujuh mata di belakang empat pasukan teratas.

Pasukan Klopp semakin bertambah baik sebelum saingan Liga Perdana berhenti pada November lalu dan mereka boleh meraih kemenangan ketiga berturut-turut buat kali pertama musim ini apabila berkunjung Aston Villa pada awal pagi Selasa ini.

Dengan hanya pemain Perancis, Ibrahima Konate satu-satunya pemain Liverpool yang terbabit di suku akhir Piala Dunia, Fabinho percaya rehat itu akan memberi manfaat kepada The Reds.

"Ia boleh menjadi baik," katanya kepada laman web kelab.

"Saya harap ia akan baik untuk kelab kerana seperti yang saya katakan sebelum ini, kedudukan kami di Liga Perdana bukanlah kedudukan yang kami mahukan.

"Tapi inilah realitinya. Kami perlu menghadapinya, kami perlu cuba merapatkan jurang dengan pasukan lain dan ya, perlawanan demi perlawanan. Cuba bermain lebih baik dan menang.

Fabinho beraksi selama 45 minit ketika Reds kembali ke aksi kompetitif dan tewas 2-3 saingan Piala Liga kepada Manchester City Khamis lalu dan dia gembira dapat kembali beraksi.

"Pada perlawanan menentang City (penting) untuk menunjukkan bahawa kami berada di sana dan kami akan terus bertarung dengan pasukan terbaik kerana kami adalah salah satu pasukan terbaik juga," kata Fabinho.

"Saya harap kami akan terus berada di tahap ini kerana kami memerlukannya. Kembali ke prestasi ini untuk perlawanan pertama selepas kembali dari Piala Dunia saya fikir ia bagus untuk kami.

"Intensiti perlawanan juga sangat baik."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 9:32 AM