PEMAIN Kanada meraikan kejayaan selepas menewaskan Jamaica di Toronto. FOTO EPA
PEMAIN Kanada meraikan kejayaan selepas menewaskan Jamaica di Toronto. FOTO EPA
Reuters

Toronto: Kanada mara ke pusingan akhir buat kali kedua dalam sejarah selepas menewaskan Jamaica 4-0 awal pagi tadi untuk mengesahkan tiket ke Qatar sekali gus menamatkan penantian 36 tahun.

Selepas gagal melakukannya lebih awal apabila tewas 0-1 di Costa Rica, Khamis lalu, Kanada kembali dengan semangat baharu untuk melengkapkan misi di hadapan 30,000 penonton di BMO Field.

Peluang kedua dimanfaatkan sepenuhnya menerusi jaringan Cyle Larin dan Tajon Buchanan pada babak pertama dan Junior Hoilett meledak gol ketiga selepas rehat manakala jaringan sendiri Adrian Mariappa menambah derita Jamaica.

Kanada akan beraksi di Piala Dunia buat kali pertama sejak 1986 di Mexico yang menyaksikan mereka tewas kesemua tiga perlawanan dan gagal menjaringkan gol.

Dengan hanya berbaki satu lagi aksi kelayakan, Kanada menduduki tempat teratas Concacaf dengan 28 mata, tiga mata di atas pasukan gergasi serantau Amerika Syarikat yang menewaskan Panama 5-1 di Orlando dan Mexico menduduki tangga ketiga juga dengan 25 mata.

Tiga pasukan teratas mara automatik ke Piala Dunia pada November depan dengan pasukan tangga keempat akan berdepan pasukan Oceania dalam aksi playoff.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 7:36 AM