BROMELL menjuarai acara 100m di Eugene. -FOTO AFP
BROMELL menjuarai acara 100m di Eugene. -FOTO AFP
AFP

Eugene, Amerika Syarikat: Trayvon Bromell dan Elaine Thompson-Herah meraih kemenangan dalam acara 100 meter (m) di kejohanan Liga Belian di Eugene yang berlangsung di lapangan Hayward Field.

Pelari Amerika Bromell, muncul pelari terpantas dunia tahun lalu, bangkit daripada pengalaman pahit selepas penyertaannya dibatalkan kerana melakukan kesalahan di blok permulaan 'false start' di Birmingham minggu lalu merekodkan masa 9.93s untuk menang dalam acara 100m.

Manakala pelari Jamaica, Elaine yang merangkul kejayaan berganda di temasya Olimpik dalam acara 100 dan 200m pada 2016 dan tahun lalu, menjuarai kategori wanita dengan catat 10.79s.

Kedua-dua mereka bagaimanapun tidak mencatatkan masa terpantas dunia untuk tahun ini namun Elaine berkata, dia gembira untuk melepasi garisan penamat sebagai juara dan tanpa sebarang kecederaan biarpun terpaksa berlari dalam keadaan hujan di Eugene, venue yang sama yang akan menganjurkan Kejohanan Dunia dari 15 hingga 24 Julai ini.

"Saya teruja dapat melepasi garisan penamat dengan selamat," katanya.

"Saya tidak peduli mengenai masa. Hujan turun dan ia sedikit sejuk.

"Keputusan ini menunjukkan saya berada dalam keadaan terbaik," kata bintang Jamaica yang menarik diri daripada menyertai Liga Berlian di Birmingham akibat kecederaan bahu sebelum ini menilai prestasi dirinya dengan menyertai kejohanan di Kingston Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 12:32 PM