LEWANDOWSKI meledak hatrik ketika menumpaskan Salzburg. FOTO Reuters
LEWANDOWSKI meledak hatrik ketika menumpaskan Salzburg. FOTO Reuters
Reuters

Munich: Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski berjaya meledak hatrik terpantas dalam sejarah Liga Juara-Juara dengan melengkapkan tiga gol selepas 23 minit perlawanan berlangsung bagi membolehkan gergasi Jerman itu mengalahkan Red Bull Salzburg 7-1 pagi tadi.

Kemenangan dengan agregat 8-2 itu membolehkan mereka layak ke suku akhir Liga Juara-Juara.

Pemain antarabangsa Poland itu menjaringkan tiga gol dalam tempoh 11 minit apabila dia membuka jaringan menerusi dua sepakan penalti pada minit ke-12 dan 21 sebelum melengkapkan hatrik kelima di kejohanan itu dua minit kemudian.

Serge Gnabry meledak gol keempat untuk menumpaskan penjaga gol Salzburg, Philipp Koehn sebelum Thomas Mueller menjaringkan dua gol dan rembatan Leroy Sane pada separuh masa kedua menamatkan malam gemilang Bayern.

"Ini adalah satu bukti mengenai keupayaan kami," kata penjaga gol Bayern, Manuel Neuer.

Bayern, yang sukar diramal dalam saingan Bundesliga tahun ini, sekarang sudh menjaringkan tujuh atau lebih gol dalam Liga Juara-Juara sebanyak tujuh kali.

"Kami bermula dengan baik dan memberikan persembahan berbeza dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Ini memberikan harapan kami mampu meneruskan rentak. Sejak dari mula kami sudah mempamerkan perwatakan positif," kata Neuer.

Neuer juga berjaya mencatat rekod 104 kali dalam penampilan di kejohanan berkenaan, mengatasi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Oliver Kahn.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 11:44 AM