Wan Kuzri (kanan) ketika menjalani latihan bersama skuad kebangsaan. FOTO FAM
Wan Kuzri (kanan) ketika menjalani latihan bersama skuad kebangsaan. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sentuhan 'Amerika Utara' khususnya di bahagian tengah tampaknya tidak menjadi kenyataan apabila kelibat Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal disahkan tidak akan di bawa ke Phnom Penh, Kemboja bagi menyertai Kejuaraan AFF B-23 dari 14 hingga 26 Februari ini.

Perkara itu dinyatakan pengendali skuad B-23 negara, Brad Maloney yang memutuskan untuk menggugurkan pemain berpangkalan di Amerika Syarikat itu hari ini.

Katanya, selepas berbincang dengan Kuzri pagi ini, tonggak yang mula mencipta nama bersama beberapa akademi bola sepak di Amerika Utara dan kini beraksi untuk Akron Zips di Liga Universiti di benua itu terpaksa dilepaskan.

"Saya ada bercakap dengan Wan Kuzri pagi ini dan dia masih lagi menyelesaikan isunya (hal keluarga) dan kami terpaksa mengenepikannya buat kali ini, dan kita akan menilainya kemudian untuk kejohanan lain.

"Sudah tentu saya mahu dia bersama pasukan kerana dia seorang pemain yang berkualiti, tapi buat masa ini…nampaknya ada peluang buat pemain lain.

"Dia sentiasa bersemangat dan ingin membantu pasukan dan saya pun sentiasa bercakap dengannya mengenai perkara ini.

"Dia nampak sedikit kecewa (keputusan menggugurkan namanya ke Kejuaraan AFF), tapi dia perlu menerimanya dan kami perlu memandang ke depan dan cari solusi terbaik," kata Maloney yang berasal dari Australia.

Jelasnya lagi, walaupun Kuzri digugurkan kali ini, pintu buat pemain itu masih terbuka dengan beberapa pertandingan bakal menantinya seperti Sukan Sea di Vietnam, Piala AFC B-23 di Uzbekistan dan Sukan Asia di China nanti.

"Dia memang mahu sertai kejohanan ini (Kejuaraan AFF), Sukan Sea, Piala Asia, Sukan Asia dan kita akan sentiasa berhubung untuk melihat peluangnya bersama pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 5:55 PM