Datuk Hamidin Mohd Amin
Datuk Hamidin Mohd Amin
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bukannya tidak boleh disentuh atau ditegur, namun Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin akan mengambil tindakan undang-undang kepada individu atau pihak yang melampaui batas dalam mengkritik badan induk bola sepak negara itu.

Hamidin berkata, ketika ini beliau masih lagi boleh menerima 'serangan' bertali arus daripada individu atau pihak tertentu yang terus mengkritik dirinya dan FAM susulan daripada kegagalan skuad Harimau Malaya di kejohanan Piala AFF 2020 tempoh hari.

Namun, beliau berkata, kritikan terbabit perlulah secara berilmiah dan membina demi memastikan skuad Harimau Malaya mengecapi kejayaan pada masa akan datang.

"Saya fikir seperti ini, mana-mana pihak, individu atau badan berhak untuk mengkritik dengan cadangan bagus namun bukanlah untuk menghentam seseorang itu.

"Bagi saya, ia tidak mendatangkan manfaat hanya kerana ada niat lain. Saya fikir jika masih lagi dalam batasan tak ada masalah.

"Kalau di luar batasan kita akan lihat macam mana nanti. Kalau melampau mungkin betul-betul ada niat lain atau mencemarkan," katanya ketika ditemui Arena Metro.

Mengikut rekod, Hamidin mula dilantik menduduki kerusi nombor satu badan induk itu pada Julai 2018 bagi menggantikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang meletakkan jawatan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tekanan dan cabaran sepanjang memegang jawatan nombor satu FAM terutama kegagalan skuad Harimau Malaya pada kejohanan AFF 2020 tempoh hari, Hamidin berkata, beliau sudah menjangkakan akan diserang oleh pihak tertentu termasuklah penyokong bola sepak tanah air.

"Sebelum memegang jawatan presiden saya pernah memegang banyak jawatan di pelbagai peringkat. Saya tahu perkara ini jika pasukan kebangsaan gagal akan dikritik dan disuruh letak jawatan.

"Saya memang tahu jika ada apa-apa kekalahan pasukan kebangsaan ini akan terjadi dan ia terjadi kepada bekas presiden sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 7:46 PM