Aksi skuad Harimau Malaya (jersi kuning) ketika menentang Vietnam pada saingan Piala AFF 2020 di Singapura
Aksi skuad Harimau Malaya (jersi kuning) ketika menentang Vietnam pada saingan Piala AFF 2020 di Singapura
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Hanya satu muka surat sahaja laporan berkaitan Kejohanan Piala AFF 2020 di Singapura.

Situasi terbabit didedahkan sumber rapat Persatuan Bolasepak Malaysia yang menyebabkan badan induk bola sepak itu terkena 'getah' dipersalahkan kononnya memberi laporan tidak lengkap kepada Badan Siasatan Bebas baru-baru ini.

Sumber terbabit menjelaskan laporan tidak lengkap atau mengecewakan itu sebenarnya datang daripada barisan kejurulatihan yang enggan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menyediakan maklumat terperinci untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, terdapat salah faham ketika pembentangan laporan daripada Badan Siasatan Bebas pada Jumaat lalu yang melihat seolah-olah FAM mengambil sikap sambil lewa ketika menyediakan laporan itu.

"Laporan yang tak lengkap itu sebenarnya bukan daripada pengurusan FAM sendiri tapi membabitkan barisan kejurulatihan. FAM sudah buat semua namun bila panggil semua jurulatih tak mahu bagi kerjasama.

"Ini ramai yang tidak faham, mungkin ingat semua laporan disediakan pengurusan FAM tapi bukan sebenarnya kerana ada antaranya adalah daripada mereka (barisan kejurulatihan)," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Badan Siasatan Bebas Datuk Dell Akbar Khan mendedahkan mereka menerima laporan yang cukup mengecewakan membabitkan kegagalan pasukan kebangsaan sepanjang Kejohanan Piala AFF 2020 di Singapura, dua bulan lalu.

Malah, beliau turut menyatakan bahawa pihaknya tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada individu tertentu terutama membabitkan bekas pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe untuk melengkapkan siasatan mereka.

Katanya, Badan Siasatan Bebas itu mengharapkan FAM dapat menyediakan laporan yang lengkap terutama membabitkan teknikal untuk memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan terperinci.

Katanya, laporan yang dibentangkan kepada umum bukanlah secara terperinci sekali gus terdapat beberapa perkara menimbulkan persoalan selain jawapan yang diterima tidak 'solid'.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 7:03 PM