DELL Akbar berkata beberapa siri kem latihan berpusat skuad kebangsaan perlu dimasukkan dalam kalendar FAM setiap tahun. FOTO Bernama
DELL Akbar berkata beberapa siri kem latihan berpusat skuad kebangsaan perlu dimasukkan dalam kalendar FAM setiap tahun. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya menggariskan 10 cadangan bagi mengatasi kelemahan dalam sistem pengurusan skuad negara yang harus diambil perhatian segera oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pengerusi badan siasatan itu, Datuk Dell Akbar Khan berkata, 10 cadangan dan langkah penambahbaikan itu merangkumi tempoh minimum latihan pusat, keperluan pasukan 'High Performance', pemansuhan pengurus pasukan dan pewujudan ketua delegasi, komposisi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dan kajian teknikal untuk mencipta nilai tambah.

Selain itu, lima lagi syor ialah memperbaiki sistem pemilihan pemain, keperluan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyusun jadual Liga Malaysia dengan mengutamakan jadual latihan skuad kebangsaan, memperkasakan pelan kontingensi untuk menangani Covid-19, meletakkan sasaran khusus untuk musim 2022 dan terakhir menyediakan templat laporan yang lebih berinformasi.

"Beberapa siri kem latihan berpusat skuad kebangsaan perlu dimasukkan dalam kalendar FAM setiap tahun, dengan tempoh minimum 14 hari perlu diperuntukkan bagi kem persiapan sebelum menghadapi sesuatu kejohanan penting di peringkat antarabangsa.

"Minimum dua perlawanan persahabatan antarabangsa perlu dipertimbangkan dalam mempersiapkan pasukan kebangsaan," katanya yang mengulas lanjut mengenai tempoh minimum latihan pusat negara.

Sebelum ini, persiapan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe khususnya menjelang saingan Piala AFF di Singapura bulan lalu dilihat 'caca merba' apabila pasukan hanya sempat berlatih bersama skuad penuh selama dua hari sebelum terbang ke Kota Singa.

Malah, pasukan juga langsung tidak diuji dalam mana-mana perlawanan persahabatan, di mana kekangan utama adalah disebabkan perlawanan akhir Piala Malaysia yang hanya berakhir dua hari sebelum pasukan ke Singapura.

Akhirnya, pasukan negara gagal melepasi peringkat kumpulan Piala AFF yang kemudiannya menyaksikan Cheng Hoe mengundurkan diri selepas dikritik hebat oleh peminat bola sepak tanah air di atas kegagalan itu.

Dell Akbar turut menyentuh soal jadual Liga Malaysia itu dan berharap MFL dapat memberi keutamaan buat latihan pasukan negara meskipun mungkin terikat dengan isu penajaan atau hak penyiaran liga.

"MFL dan FAM perlu menyelaras dan menyesuaikan penjadualan liga dengan menjadikan persiapan skuad kebangsaan sebagai keutamaan. Faktor-faktor seperti penajaan dan penyiaran perlu diuruskan dengan bijak supaya tidak menjejaskan perancangan skuad kebangsaan menghadapi kejohanan-kejohanan penting," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 9:40 PM