PEMAIN Melaka United berhempas pulas membawa pasukan ke separuh akhir Piala Malaysia musim lalu.
PEMAIN Melaka United berhempas pulas membawa pasukan ke separuh akhir Piala Malaysia musim lalu.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kelab bola sepak Melaka United memberi jaminan tunggakan gaji selama tiga bulan akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Menerusi satu kenyataan media dikeluarkan kelab terbabit, pihak pengurusan Melaka United kini berada pada proses akhir penstrukturan semula pentadbiran dan kewangan pasukan.

Dengan selesainya masalah terbabit selama tiga bulan lalu, isu tunggakan gaji dijangka dapat diselesaikan bagi memastikan persiapan pasukan menjelang musim baharu tidak terjejas.

"Berhubung isu tunggakan gaji pemain dan pegawai Melaka United musim 2021, kelab bola sepak Melaka United kini sedang dalam proses akhir penstrukturan semula dari segi pentadbiran dan kewangan.

"Pihak pengurusan kelab memberi jaminan untuk menyelesaikan semua tunggakan dalam masa terdekat bagi memastikan perancangan Melaka United bagi musim 2022 berjalan lancar," kata kelab itu.

Terdahulu, beberapa pemain skuad Hang Tuah nyata hilang sabar apabila meluahkan sudah hampir tiga bulan tidak menerima gaji sejak Oktober lalu.

Malah, bekas penjaga golnya yang juga pemain utama skuad Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat mengakui kini menjadi buruan pihak bank ekoran kegagalan menyelesaikan komitmen bulanan selepas tidak menerima gaji daripada Melaka United.

Dalam perkembangan sama, pengurusan Melaka United menghargai kesabaran pemain yang selama ini sudah berhempas pulas membantu pasukan sepanjang musim lalu termasuk membawa pasukan ke separuh akhir Piala Malaysia.

"Pihak pengurusan menghargai kesabaran dan kerjasama daripada para pemain dan pegawai Melaka United. Sokongan daripada semua pihak khususnya para penyokong amat kami hargai dan semoga 2022 menjadi tahun yang gemilang buat Melaka United".

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 4:49 PM