PEMAIN Harimau Malaya meraikan gol pertama jaringan Safawi Rasid ketika menentang Kemboja, semalam. FOTO FAM
PEMAIN Harimau Malaya meraikan gol pertama jaringan Safawi Rasid ketika menentang Kemboja, semalam. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Biarlah dilihat pasukan Harimau Malaya kekurangan dari segi persediaan dan barisan pemain, namun di atas padang tetap berikan persembahan terbaik seterusnya mampu melangkah ke final Piala AFF.

Itu harapan tonggak Harimau Malaya, Syafiq Ahmad walaupun skuad negara tidak dapat membawa beberapa pemain utama terutama di posisi tengah berikutan masalah kecederaan selain dua pemain didapati positif Covid-19.

Syafiq berkata, setiap pemain berkorban meninggalkan keluarga masing-masing dengan satu tujuan untuk memastikan skuad Harimau Malaya mencipta kejayaan gemilang pada kejohanan itu.

Katanya, ketika ini perkara penting adalah memastikan barisan pemain memperbaiki komunikasi di atas padang selain turut mengekalkan momentum atau corak permainan bagi memastikan keputusan positif memihak kepada skuad Harimau Malaya.

Menurutnya, barisan pemain cuba mendapatkan rentak walaupun sebelum ini tempoh latihan terhad selain turut berhadapan cabaran berikutan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan penganjur.

"Pada saya, perlawanan menentang Kemboja pemain mula lebih yakin, walaupun saya tidak menjaringkan gol perkara penting adalah pasukan menang," katanya.

Ditanya mengenai barisan pemain terutama di jentera serangan yang rata-rata dibarisi pemain muda, Syafiq berkata, semua pemain adalah sama dengan masing-masing berikan terbaik untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Harimau Malaya.

"Tak ada beza senior atau junior termasuklah kurang berpengalaman dan sebaliknya kerana kita hormat antara satu sama lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 5:10 PM