DE Paula sering menerima kritikan. FOTO FAM
DE Paula sering menerima kritikan. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bekas penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar memberi peringatan bahawa pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Guilherme De Paula tidak boleh terus diberikan harapan mengetuai jentera serangan berikutan faktor umurnya yang sudah berusia.

Malah, beliau turut mengakui pemain berkenaan sudah hilang 'taringnya' untuk meledak gol ketika bersama skuad Harimau Malaya.

Beliau berkata, ketika ini pihak berkaitan hanya boleh mengharapkan lahirnya penyerang prolifik untuk negara menerusi program akar umbi termasuklah inisiatif yang dilakukan kelab Liga Malaysia dalam menghasilkan pemain bintang pada masa akan datang.

"Sekarang ini kita hanya mengharapkan Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Terengganu, Selangor dan JDT saja untuk menghasilkan pemain berkualiti dan terbaik namun bagaimana pula dengan kelab Liga Malaysia yang lain.

"Oleh itu, pihak berkenaan perlu melakukan sesuatu untuk menghasilkan penyerang prolifik kerana dalam tempoh lima atau enam tahun kebelakangan ini tiada yang boleh mengisi posisi itu walaupun di kalangan pemain muda," katanya.

Beliau berkata, ketika ini hanya ada beberapa pemain Liga Malaysia dilihat mampu menggalas cabaran di bahagian jentera serangan skuad Harimau Malaya.

"Kita ada penyerang lain seperti Shahrel Fikri, Darren Lok dan Syafiq Ahmad. Pemain ini memang bagus cuma ada antaranya kurang minit perlawanan dan saya juga tidak tahu tahap keupayaan fizikal masing-masing.

"Shahrel bagus dan ada potensi besar namun dibelenggu pula masalah kecederaan. Syafiq pula rajin di atas padang namun bukanlah penyerang tulen manakala Darren jarang dapat panggilan skuad kebangsaan," katanya.

Terdahulu kehadiran De Paula dalam skuad kebangsaan mengundang kritikan daripada pelbagai pihak termasuklah bekas pemain kebangsaan.

Kehadiran pemain berasal dari Brazil itu dikatakan tidak banyak membantu pasukan negara dalam merencanakan serangan hingga tewas dibelasah 0-4 dan 1-5 dalam perlawanan persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan, baru-baru ini.

Berdasarkan statistik, sejak pemain itu menyarung jersi negara pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Jun lalu, sehingga kini dia hanya mampu menjaringkan satu gol daripada lima perlawanan bersama pasukan kebangsaan, itu pun satu-satunya gol menerusi sepakan penalti ketika menentang Vietnam 12 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 4:49 PM