Safiq dilayangkan kad merah kerana menanduk kepala pemain Terengganu pada aksi Piala Malaysia malam tadi. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Safiq dilayangkan kad merah kerana menanduk kepala pemain Terengganu pada aksi Piala Malaysia malam tadi. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tindakan 'ganas' yang dilakukan pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim ke atas tonggak sayap Terengganu FC, Faizal Halim adalah satu kesilapan.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui Safiq sudah memohon maaf di atas tindakannya menanduk kepala Faisal hingga menyebabkan bekas pemain kebangsaan itu dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan.

Jelasnya, setiap manusia ada melakukan kesilapan dan Safiq juga tidak terkecuali melakukan perkara itu.

"Setiap orang atau individu membuat silap. Kita manusia, 'we're not perfect'.

"Safiq kesal dengan tindakan dia dan dia minta maaf kepada semua 'players, coaches dan staff, and that's it'.

"Itu sahaja. 'Its over, and we move on', tulisnya di laman sosial bagi menjawab pertanyaan peminat mengenai tindakan Safiq itu.

Dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi, JDT merakam kemenangan selesa 3-0 sekali gus mara ke pentas final dengan agregat 4-1.

Dua pemain import iaitu Bergson da Silva meledak dua gol sementara satu lagi disumbangkan Gonzalo Cabrera, dengan semua gol terbabit diraih pada 15 minit babak pertama.

Bagaimanapun, tuan rumah terpaksa bermain dengan 10 pemain sepanjang 75 minit perlawanan selepas Safiq diperintahkan keluar padang ekoran tindakannya menanduk kepala Faizal yang jelas menyalahi peraturan permainan.

Di final Selasa ini, JDT bakal berdepan Kuala Lumpur City FC yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 7:24 PM