Pengendali Chelsea, Thomas Tuchel (kanan) memberi arahan kepada pemainnya. FOTO EPA
Pengendali Chelsea, Thomas Tuchel (kanan) memberi arahan kepada pemainnya. FOTO EPA
AFP

London: Thomas Tuchel memuji Chelsea yang "menakjubkan" apabila juara bertahan Liga Juara-Juara itu menempah tempat ke kelompok 16 terakhir apabila membenam Juventus 4-0, pagi ini.

Skuad kendalian Tuchel mendahului apabila bola terkena tangan Antonio Rudiger tidak dihukum yang membawa kepada gol pembukaan Trevoh Chalobah di Stamford Bridge.

Juventus gagal bangkit selepas kontroversi itu ketika Reece James, Callum Hudson-Odoi dan Timo Werner menjaringkan gol pada separuh masa kedua untuk membawa Chelsea ke kedudukan teratas Kumpulan H.

Chelsea di atas Juventus berdasarkan perbezaan gol dan akan memastikan tempat teratas jika mereka menang di Zenit Saint Petersburg dalam saingan terakhir kumpulan pada 8 Disember.

Ia satu lagi persembahan baik daripada Chelsea yang tidak tewas dalam 10 perlawanan di semua kejohanan sejak tumpas 1-0 di Juventus pada September.

"Ia persembahan yang sangat bagus. Kami mahu terus kekal sabar, tapi pada masa sama tidak mahu tertidur, jadi ia satu cabaran untuk melakukan kedua-duanya," kata Tuchel.

"Kami melakukannya dengan sangat bagus, adalah sukar untuk menjaringkan gol berdepan Juventus dan kami banyak mencipta peluang. Pujian untuk persembahan menakjubkan dan keputusan yang hebat."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 8:05 AM