CALLUM HUDSON-ODOI
CALLUM HUDSON-ODOI
Agensi

LONDON: Pemain muda Chelsea, Callum Hudson-Odoi memiliki potensi untuk muncul antara pemain terbaik Eropah, menurut pengendalinya Maurizio Sarri.

Pemain sayap berbakat berusia 18 tahun itu membuat kemunculan sulung buat Chelsea pada Januari tahun lalu, tetapi sehingga kini hanya diturunkan enam kali.

Terbaru The Blues dilaporkan menolak tawaran £20 juta (RM105 juta) dikemukakan Bayern Munich untuk pemain Bawah 21 tahun England itu.

“Dia pemain yang amat bagus, mempunyai potensi untuk menjadi pemain hebat, dan kini hanya perlu terus meningkatkan prestasi,” kata Sarri.

“Saya fikir dia perlu terus meningkatkan beberapa aspek permainan terutamanya dari segi pergerakan apabila tanpa bola.

“Sebagai pemain sayap dia juga perlu meningkatkan aspek bertahan, tetapi apapun dia mempunyai bakat untuk menjadi watak utama, bukan saja di England malah buat bola sepak Eropah.”

Hudson-Odoi yang bakatnya digilap Akademi Chelsea, membuat kemunculan dalam aksi pembukaan Perisai Komuniti, tetapi sejak daripada itu hanya beraksi dalam empat perlawanan Liga Europa dengan menjaringkan satu gol, sebelum tampil dalam aksi pertama Liga Perdana Inggeris sebagai pemain gantian minggu lalu.

Sarri mengakui adalah sukar untuknya mempromosikan bakat muda ketika kemenangan menjadi agenda utama pasukan.

Ditanya sama ada pemain muda seperti Hudson-Odoi perlu lebih bersabar, Sarri berkata: “Bukan saja mereka, tetapi penyokong, kelab dan juga saya tidak terkecuali. Saya perlu menang.

“Bukannya mudah pada tahap ini untuk mengetengahkan pemain muda daripada akademi dan dia sedia bermain, bukan saja di sini tetapi di mana-mana saja di Eropah.”  

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 10:38 AM