Aksi cemerlang Marc-Andre ter Stegen bersama Barcelona. FOTO Agensi
Aksi cemerlang Marc-Andre ter Stegen bersama Barcelona. FOTO Agensi
Agensi

London: Manchester City dilaporkan mempertimbangkan tawaran menandatangani penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen.

Pemain kebangsaan Jerman itu menjadi tonggak utama buat gergasi Catalan sejak tiba di Camp Nou dari Borussia Monchengladbach pada 2014.

Bagaimanapun, laporan El Nacional menyatakan Barca akan mempertimbangkan permintaan terhadap Ter Stegen ketika mereka masih mengurangkan perbelanjaan yang mencetus kerisauan di kelab itu.

Pep Guardiola diketahui meminati pemain berusia 29 tahun itu dan laporan menambah kelab Citizens gagal dengan tawaran £33.9 juta (RM191 juta) untuk menandatangani penjaga gol itu sebelum mendapatkan Claudio Bravo pada 2016.

City dipercayai antara beberapa kelab elit Eropah yang bersedia menawarkan gaji tinggi kepada Ter Stegen, sekalipun penyertaannya di Stadium Etihad nanti menyaksikan dia terpaksa bersaingan dengan penjaga gol utama, Ederson.

Kontrak Ter Stegen bersama Barcelona dijangka tamat pada Jun 2025, dia melakukan 290 penampilan dalam semua pertandingan buat gergasi La Liga dengan mengekal 117 rekod bersih tanpa bolos.

City dijadualkan berdepan Club Brugge bagi menempatkan diri dalam kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara pagi Khamis ini selepas berada di tangga kedua dan ketinggalan satu mata di belakang PSG dalam Kumpulan A.

Penyandang juara Liga Perdana itu turut berdepan laluan getir dalam saingan liga apabila bakal melayan kunjungan seteru setempat Manchester United, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 12:26 PM