Bintang Liverpool, Mohamed Salah. FOTO Agensi
Bintang Liverpool, Mohamed Salah. FOTO Agensi
AFP

London: Mohamed Salah memberitahu Liverpool dia mahu kekal di kelab itu sehingga berakhir kariernya namun penyerang Mesir itu menegaskan kejayaan rundingan kontraknya dengan kelab "tidak bergantung kepada dirinya".

Kontrak Salah sekarang akan berakhir pada 2023 dan Liverpool sedang menyiapkan kontrak baharu untuk jangka panjang.

Pemain berusia 29 tahun itu sehingga kini belum mencapai persetujuan dengan kelab dan laporan mengatakan dia mahu gaji baharu yang akan menjadikannya pemain termahal di Liga Perdana Inggeris.

Ia mencetus spekulasi bahawa Salah akan meninggalkan Anfield, selepas musim lalu pemain itu dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid.

Namun menjelang aksi berdepan seteru tradisi Manchester United esok, Salah memaklumkan yang dia akan terus kekal bersama kelab jika diberikan peluang.

"Ia tidak bergantung kepada saya, tetapi jika anda tanya saya, memang saya mahu kekal sehingga hari terakhir karier bola sepak saya." kata Salah kepada Sky Sports.

"Tetapi saya tidak boleh bercakap lebih mengenainya, ia bukan keputusan saya. Ia bergantung kepada apa yang kelab mahukan. Ia bukan bergantung pada saya.

"Buat masa ini, saya tidak dapat bayangkan diri saya bermain menentang Liverpool. Ia membuatkan saya berasa sedih namun kita lihat apa akan jadi pada masa akan datang."

Salah mempamerkan prestasi menakjubkan buat skuad kendalian Jurgen Klopp musim ini selepas meledak 12 gol dalam 11 penampilan di semua kejohanan.

Dia menjadi pemain Liverpool pertama menjaringkan gol dalam sembilan perlawanan berturut-turut dan merupakan pemain terpantas meledak 100 gol untuk kelab pada September lalu.

Jaringan menarik ketika menentang Manchester City dan Watford baru-baru ini meletakkannya sebagai calon pilihan untuk memenangi gol terbaik musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 8:17 AM