Bintang Liverpool, Mohamed Salah. FOTO AFP
Bintang Liverpool, Mohamed Salah. FOTO AFP
Agensi

London: Liverpool dilaporkan bersedia menawarkan kontrak lumayan bagi memastikan Mohamed Salah bersetuju dengan kontrak baru jangka panjang seterusnya menjadi pemain yang menerima gaji tertinggi dalam kelab itu.

Kontrak sedia ada Salah bakal berakhir pada 2023 tetapi Liverpool memberi keutamaan untuk memastikan bintang mereka kekal dengan perjanjian baru seperti beberapa rakan sepasukannya yang lain.

Laporan terbaru mendakwa penyerang Liverpool itu mahu menjadi pemain yang menerima gaji tertinggi dalam skuad Jurgen Klopp bagaimanapun kelab masih mempertimbangkan semua aspek sebelum mengambil langkah terbabit.

Pemain kebangsaan Mesir itu sudah meledak 15 gol musim ini buat Liverpool, termasuk jaringan hatrik menentang Manchester United, Ahad lalu.

Laporan menyatakan Salah bakal menerima gaji sekitar £500,000 (RM2.85 juta) seminggu dinafikan pemilik kelab itu Fenway Sports Group yang menyifatkan ia di luar lingkungan kewangan yang ditetapkan.

Perjanjian terbaru bakal menyaksikan Salah menjadi pemain yang menerima gaji tertinggi dalam sejarah kelab itu sekali gus mengatasi kontrak baru Vigil Van Dijk sekitar £220,000 (RM1.25 juta) seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 1:45 PM