Xavi
Xavi
Agensi

Madrid: Bekas pemain tengah Barcelona, Xavi menegaskan dia sedia mempertimbangkan tawaran daripada kelab La Blaugrana jika tugas sebagai pengurus diamanahkan kepadanya.

Pengendali berusia 41 tahun - yang ketika ini mengendalikan kelab Qatar, Al-Sadd - dikaitkan dengan kepulangan ke Camp Nou ketika tugas Ronald Koeman berdepan ancaman.

Koeman mendapat sokongan Joan Laporta buat masa ini.

Bercakap kepada TVE , pemenang Piala Dunia itu berkata: "Apa-apa tawaran akan dipertimbang dan keputusan akan dibuat. Saya tidak tahu masa depan yang akan membawa saya, tetapi saya bersedia dengan segala perbincangan."

Selepas kekalahan 0-2 kepada Atletico Madrid sebelum rehat antarabangsa, jawatan Koeman dijangka selamat apabila memperoleh keputusan positif dalam saingan El Clasico pada 24 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 9:54 PM