Owen Teo (tengah) bersama wakil pengurusan kelab NK Precko Zagreb (kanan) dan ejennya, Raja Azlan Shah.
Owen Teo (tengah) bersama wakil pengurusan kelab NK Precko Zagreb (kanan) dan ejennya, Raja Azlan Shah.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Impian pemain muda negara, Owen Teo untuk beraksi di Eropah akhirnya tercapai apabila dia sah menyertai kelab divisyen dua Croatia, NK Precko Zagreb, Khamis lalu.

Owen, 19, menandatangani kontrak selama semusim bermula Oktober ini sehingga Jun tahun depan, dengan buat permulaan akan beraksi bersama skuad bawah 19 tahun (B-19) dalam liga utama peringkat usia itu.

Dia yang sudah menyertai sesi latihan bersama pasukan semalam, mengakui teruja dan tidak sabar untuk turun beraksi buat kelab baharunya itu.

"Saya sangat gembira akhirnya cita-cita untuk berkelana dan bermain di luar negara tercapai, ini impian saya sejak kecil.

"Saya akan berusaha bersungguh-sungguh mengutip ilmu dan pengalaman di sini dan cuba sedaya upaya memajukan diri sekali gus memikat perhatian kelab-kelab di sini," katanya kepada Arena Metro.

Sementara itu, menurut ejen yang menemaninya di Croatia ketika ini, Raja Azlan Shah, pemain yang beraksi di posisi sayap itu diberi pilihan untuk kekal lagi setahun jika berjaya menambat hati pihak pengurusan kelab.

"Liga B-19 di sini amat kompetitif dan bagus untuknya belajar dan meraih pengalaman awal beraksi di liga Eropah.

"Sekarang NK Precko dah main enam perlawanan liga dan Insya Allah, dia (Owen) akan sertai pasukan untuk aksi akan datang. Pusingan pertama berbaki tujuh perlawanan lagi, dan pusingan kedua ada 15 aksi dan secara keseluruhan di sini ada 30 perlawanan.

"Saya yakin Owen akan lebih matang dalam permainannya dan pendedahan ini baik untuk perkembangan kariernya," kata Raja Azlan yang juga pemilik Proglobal Sports Management.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 7:22 PM