STUART Ramalingam. FOTO Owee Ah Chun
STUART Ramalingam. FOTO Owee Ah Chun
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) masih berusaha memohon kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung kemasukan penonton ke stadium pada saingan Piala Malaysia yang bermula esok.

Mengikut situasi terkini, boleh dikatakan belum ada sinar untuk penyokong kembali ke stadium apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi satu kenyataan semalam memaklumkan, kehadiran penonton ke stadium atau venue sukan dan rekreasi di kawasan fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) ditangguh sementara.

Keputusan itu sekali gus sudah tentu memberikan khabar duka buat penyokong Liga Malaysia yang berharap dapat menyaksikan perlawanan Piala Malaysia di stadium pada musim ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam, pihaknya tidak pernah mengangkat bendera putih dalam usaha membawa penyokong kembali ke stadium.

Walaupun menyedari terdapat banyak halangan dan cabaran untuk membawa pemain ke 12 ke stadium, beliau tetap optimis perkara itu dapat dilaksanakan kelak.

"Ketika ini MFL sedang mengadakan perbincangan bersama pihak berkaitan dalam usaha membawa masuk penyokong.

"Harap dapat mendengar berita baik dalam masa terdekat ini. Pihak berkaitan juga sedang mempertimbangkan perkara terbabit dan KBS turut banyak membantu dalam usaha membenarkan penyokong ke stadium," katanya.

Untuk rekod, kerajaan membenarkan kehadiran penonton ke stadium pada awal April lalu, lebih setahun selepas Liga Malaysia terpaksa ditangguhkan pada 16 Mac 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.

Dua perlawanan Liga Super membabitkan pertemuan JDT menentang Melaka United FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 2 April dan Kuala Lumpur City FC berdepan Sabah FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 3 April dijadikan sebagai projek perintis bagi kemasukan penonton ke stadium.

Namun tidak lama kemudian kebenaran itu ditarik balik berikutan pelaksanaan PKP susulan peningkatan kes Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 5:57 PM