Irfan Bakti Abu Salim. FOTO File NSTP
Irfan Bakti Abu Salim. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuching City FC bersedia kembali beraksi selepas menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu walaupun terpaksa menempuh jadual lebih padat kelak.

Pindaan jadual Liga Malaysia terpaksa dilakukan selepas lima perlawanan Liga Super membabitkan KDA FC manakala tujuh perlawanan Liga Perdana perlu diharungi Kuching City terpaksa ditunda susulan terdapat kes positif Covid-19 dalam pasukan itu.

Menurut ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak, beliau tetap berterima kasih kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) atas usaha untuk membantu pasukan berkenaan walaupun rayuan yang dibuat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya hanya pemain positif sahaja dikuarantin ditolak.

Untuk itu, beliau dan barisan pemain akan terus bekerja keras untuk memastikan tiada lagi kes sebegini berlaku pada masa hadapan selain akan lebih tegas menjaga prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Liga Malaysia berlangsung.

"Kedah memahami MFL sudah sedaya upaya membantu pasukan dalam hal ini dengan cuba melakukan rayuan supaya pemain positif sahaja dikuarantin.

"Namun arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dihormati dan wajib diikuti dalam soal kuarantin pemain serta pegawai.

"Kami harap tidak ada lagi berlaku kes positif Covid-19, bukan sahaja membabitkan Kedah tetapi mana-mana pasukan lain kerana banyak rombakan terpaksa dilakukan kerana terpaksa dikuarantin," katanya.

Sementara itu, pengendali Kuching City, Irfan Bakti Abu Salim pula mengharapkan barisan pemain akan terus komited untuk mengharungi perlawanan yang ada meskipun sedar tahap kecergasan sedikit terkesan.

Mengambil kira perlawanan yang akan ditempuh berlangsung di laman sendiri iaitu Stadium Negeri diharap dapat membantu mengurangkan kepenatan pemain.

Berdasarkan pindaan terbaharu Jadual Liga Malaysia, perlawanan Liga Super ke-18 bermula pada 13 Ogos 2021 manakala perlawanan Liga Super ke-19 sehingga 22, ia akan berlangsung bermula 20 Ogos sehingga 12 September depan.

Bagi Liga Perdana, aksi ke-18 berlangsung pada 15 Ogos dan pindaan berlaku pada perlawanan ke-19 sehingga 22 di mana ia akan berlangsung pada 20 Ogos sehingga 18 September nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 7:29 PM