Pemain dan jurulatih KDA FC ketika sesi latihan sebelum terpaksa menjalani kuarantin susulan dua pemain positif Covid-19. FOTO KDA FC
Pemain dan jurulatih KDA FC ketika sesi latihan sebelum terpaksa menjalani kuarantin susulan dua pemain positif Covid-19. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini menunggu tarikh ujian sampel Covid-19 selanjutnya secepat mungkin bagi mengesahkan semua pemain yang bebas atau negatif gejala berkenaan dapat turun semula berlatih dan seterusnya menyambung aksi perlawanan Liga Super.

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata pihaknya kini menunggu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melakukan ujian 'swab test' sama ada RT-PCR atau RTK-Ag bagi mengesahkan pemainnya bebas Covid-19.

"Sekiranya selepas ujian swab test kali ini dilakukan dan semua pemain bebas atau negatif dari Covid-19, maka pemain dijangka akan dapat menjalani latihan dan seterusnya memulakan aksi Liga Super dalam tempoh terdekat.

"Mengenai tarikh swab test berkenaan kami masih menunggu dan mengharapkan ianya dapat dilakukan dalam sehari dua ini selepas seluruh pemain dan petugas KDA FC sudah melakukan kuarantin sejak dua pemain didapati positif Covid-19 minggu lalu.

"Bagi pemain pula, sudah pasti mereka yang didapati negatif sebelum ini kini sangat berharap dapat menyambung semula aksi perlawanan selepas ujian swab test yang akan dilakukan nanti." katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Khamal juga menghargai usaha Liga Bolasepak Malaysia (MFL) melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang sudah membuat permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM agar pemain yang bebas atau negatif ujian Covid-19 dapat meneruskan latihan dan perlawanan sementara mereka yang positif sahaja perlu dikuarantin.

"Kami berharap dengan pematuhan dan langkah kawalan ini dapat memastikan perancangan pasukan dalam jadual liga yang sedang berlangsung dapat diteruskan tanpa membabitkan banyak rombakan jadual disamping tidak menjejaskan perancangan pasukan."

"Apapun kami tetap dan sentiasa mematuhi setiap aspek Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, dan apa juga yang diputuskan oleh pihak MFL dan KKM demi kepentingan semua pihak." katanya.

KDA FC yang sebelum ini terlepas dua perlawanan menentang Penang FC pada 24 Julai dan PJ City FC pada 27 Julai lalu bakal menghadapi jadual perlawanan menentang UiTM FC pada 31 Julai dan Sri Pahang FC pada 4 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 5:59 PM