SAFEE turut menjadikan penyerang Brazil, Ronaldo sebagai pencetus inspirasi selepas bintang dunia itu juga beberapa kali mengalami ACL. FOTO OWEE AH CHUN
SAFEE turut menjadikan penyerang Brazil, Ronaldo sebagai pencetus inspirasi selepas bintang dunia itu juga beberapa kali mengalami ACL. FOTO OWEE AH CHUN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas penyerang negara, Safee Sali menasihatkan pemain muda di Jepun, Hadi Fayyadh Abdul Razak tidak terlalu ghairah untuk segera beraksi selepas pulih daripada kecederaan 'anterior cruciate ligament' (ACL) di kaki kanannya.

Jelas Safee, dia mahu Hadi mengikut saranan pegawai perubatan dan tidak terlalu menekan diri hingga boleh memudaratkan kembali kecederaannya itu.

"Kena jangan terlalu cepat terkejar-kejar. Kita tak tahu apa yang berlalu, jadi ikut program pemulihan yang diaturkan.

"Kedua jangan terlalu rushing sebab bola sepak ini (bila bermain) memang ada sentuhan," katanya dalam temubual dengan Hadi di laman sosial milik Safee, kelmarin.

Ujar Safee lagi, dia sendiri pernah menempuh situasi sama sebanyak dua kali pada 2004 dan 2006.

Katanya bukan mudah untuknya bangkit semula selepas dua kali mengalami kecederaan ACL itu, namun disebabkan semangat untuk bangkit semula akhirnya pemain kelahiran Kajang, Selangor itu berjaya bangkit.

"Abang pun kena macam Hadi. Apa yang buat abang nak bangkit, ialah sebab nak main bola dan buktikan sesuatu kepada keluarga dan negara," kata pemenang kasut emas Piala AFF 2010 itu.

Jelasnya lagi, dia turut menjadikan penyerang Brazil, Ronaldo sebagai pencetus inspirasi selepas bintang dunia itu juga beberapa kali mengalami ACL yang akhirnya mampu bangkit atasi kecederaan itu.

"Apa yang Ronaldo boleh, aku pun boleh. Abang masa itu suka tengok Ronaldo yang kerap buat (kena ACL) macam itu. Hadi jangan putus asa dan jangan negatif".

Terdahulu, Hadi yang beraksi di Liga Jepun bersama kelab, Azul Claro Numazu dalam saingan divisyen tiga mengakui sudah mula berlari selepas tiga bulan menjalani pembedahan ACL.

Perkembangan itu cukup pantas dengan kebiasaannya seseorang atlet mengambil tempoh enam bulan untuk kembali berlari.

Untuk rekod, Hadi mengalami kecederaan itu ketika aksi pramusim bersama Claro Numazu yang menyaksikan dia terlepas untuk melakukan debut pertama dengan kelabnya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 9:27 PM