HADI Fayyadh dimasukkan sebagai pemain gantian. FOTO Hadi Fayyadh Abdul Razak
HADI Fayyadh dimasukkan sebagai pemain gantian. FOTO Hadi Fayyadh Abdul Razak
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penantian tiga musim dengan pelbagai dugaan ditempuh akhirnya 'berbayar' apabila penyerang muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak melakar sejarah peribadi meraih penampilan pertama di liga profesional Jepun, semalam.

Dia yang beraksi buat kelab divisyen tiga J-League, Azul Claro Numazu dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-83 ketika menentang Vanraure Hachinohe yang menyaksikan pasukannya meraih kemenangan 2-0.

Kejayaan itu pastinya bukan mudah buatnya apabila terpaksa menunggu selama tiga musim untuk mendapatkan kepercayaan beraksi dalam perlawanan kompetitif dalam Liga Jepun yang diakui antara liga terbaik di Asia, bahkan di dunia.

Untuk rekod, Hadi tiba di Jepun dengan menyertai Fagiano Okayama di divisyen dua pada hujung Disember 2018 hanya kerap beraksi dalam perlawanan persahabatan dengan kelab itu.

Menyedari kesukaran untuk menembusi skuad utama, Fagiano meminjamkan Hadi ke Azul Claro Numazu bagi memastikan dia meraih minit permainan bermula musim lalu.

Begitupun nasib tidak menyebelahi pemain kelahiran Kuala Lumpur itu, apabila mengalami kecederaan ACL di lutut kanannya sekali gus menyaksikan dia terpaksa menjalani pembedahan serta proses pemulihan untuk beberapa bulan.

Dengan berbekalkan semangat juang dan motivasi tinggi untuk kembali beraksi, Hadi berjaya pulih dengan cepat dan mula menjalani latihan semula hujung musim lalu sekali gus menandakan dirinya sudah bangkit.

"Satu kepuasan dari hasil usaha keras dan tidak pernah mengalah. Malam yang akan diingati dan perasaan yang tak terungkap dalam debut pertama bersama Azul.

"Perjalanan yang bukan mudah dan malam ini saya kembali melakukan perkara yang paling saya gemari dan saya bersyukur dengannya. Banyak lagi perkara positif selepas ini," katanya di laman Instagram miliknya, semalam.

Ujarnya lagi, dia mengucapkan tahniah di atas kemenangan pasukannya dalam aksi itu.

"Tahniah semua rakan sepasukan dan jurulatih atas kemenangan dan tiga mata yang diraih. Tidak kira berapa jauh atau sukar halangan, asalkan jangan cepat mengalah. Terima kasih atas sokongan semua," katanya.

Sebelum ini, dua pemain menara iaitu Wan Zack Haikal dan Nazirul Naim pernah beraksi bersama kelab FC Ryukyu pada 2013 hingga 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 5:59 PM