AB GHANI  harap perlawanan Liga M berlangsung dengan lancar.
AB GHANI harap perlawanan Liga M berlangsung dengan lancar.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berharap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah membenarkan mana-mana pasukan Liga Malaysia (Liga M) memasuki Sabah tanpa perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, pihaknya sudah membuat permohonan kepada pihak berwajib bagi mendapatkan kelulusan berkenaan perkara terbabit.

Katanya, permohonan itu perlu bagi melancarkan lagi perjalanan Liga M membabitkan pasukan-pasukan dari luar Sabah untuk beraksi di Stadium Likas khususnya dalam saingan Liga Super.

"Kami berharap, permohonan bagi mendapatkan kebenaran khas daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah akan diluluskan. Ini bagi memudahkan kemasukan pasukan Liga Malaysia yang berada dalam Gelembung Sukan ini memasuki Sabah tanpa menjalani kuarantin dalam tempoh lama," katanya.

Selain itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak yang membenarkan dua kelab di negeri terbabit menjalani latihan secara fizikal dan membenarkan beraksi di Stadium Negeri, Kuching buat kali pertama musim ini.

"MFL ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak kerajaan dan pihak berkuasa negeri yang sememangnya banyak membantu pasukan-pasukan Liga Malaysia.

"Tidak lupa kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak yang membenarkan pasukan Sarawak United FC dan Kuching City FC berlatih secara fizikal serta akan beraksi di Stadium Negeri.

"Diharap Liga Malaysia yang akan bersambung semula Sabtu ini akan berjalan lancar dengan semua pemain dan pegawai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikhaskan bagi melindungi Gelembung Sukan Liga Malaysia daripada berlakunya penularan wabak Covid-19".

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 6:36 PM