BADAN amal NHS akan terima sumbangan hasil kemenangan England di Euro 2020. FOTO Agensi
BADAN amal NHS akan terima sumbangan hasil kemenangan England di Euro 2020. FOTO Agensi
Agensi

London: Pemain England akan menyumbangkan hadiah wang kemenangan Euro 2020 kepada pelbagai badan amal NHS selepas perlawanan akhir menentang Itali.

Persatuan Bolasepak akan menerima sekitar £24 juta (RM139.7 juta) jika mereka menewaskan Itali di Wembley.

Sebahagian daripada jumlah itu - sekitar £9.6 juta (RM55.9 juta) akan dibahagi kepada skuad Gareth Southgate bersama 26 pemain namun pemain berhasrat menyumbang wang kemenangan itu untuk membantu NHS.

Satu kenyataan bagi pihak pemain sebelum kejohanan bermula menjelaskan: "Selepas mengadakan perbincangan dengan FA, skuad England ingin mengesahkan bahawa sebahagian besar daripada hadiah kemenangan mereka akan disumbangkan kepada badan amal NHS menerusi inisiatif #PlayersTogether.

Jika skuad Three Lions tewas kepada Itali di final wang kemenangan yang akan diterima adalah sekitar £8.5 juta (RM49.5 juta).

Rancangan ini masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana cukai namun badan amal NHS dijangka akan mendapat sebahagian besar sumbangan di atas kejayaan England itu.

Pemain England bagaimanapun sudah menyumbangkan wang daripada setiap perlawanan Euro 2020 untuk beberapa tujuan.

Sementara itu, kapten Liverpool yang juga pemain tengah England, Jordan Henderson dianugerahkan MBE kerana kerja amal yang dilakukannya.

Henderson membantu dalam membentuk dana amal, Players Together yang menyokong badan amal NHS ketika pandemik Covid-19 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 7:27 AM