Sergio Aguero akan menjadi sebahagian daripada skuad utama Argentina untuk Copa America. FOTO Agensi
Sergio Aguero akan menjadi sebahagian daripada skuad utama Argentina untuk Copa America. FOTO Agensi
Reuters

PENYERANG Manchester City Sergio Aguero akan menjadi sebahagian daripada skuad utama Argentina untuk Copa America, lapor dua sumber awal pagi tadi.

Aguero yang menjaringkan 21 gol Liga Perdana Inggeris dalam 33 aksi bersama Manchester City musim ini tidak beraksi dalam perlawanan antarabangsa sejak Piala Dunia di Russia tahun lalu, apabila Argentina tersingkir pada pusingan 16 terakhir.

Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) akan mengumumkan skuad 40 pemain lewat hari ini sebelum menyerahkan senarai 23 pemain terakhir untuk kejohanan itu dua minggu kemudian.

“Kun (Aguero) akan berada dalam senarai panggilan,” kata satu sumber terdekat dengan pasukan kebangsaan Argentina yang tidak mahu namanya didedahkan.

Sumber kedua dari AFA mengesahkan kepulangan penyerang itu, menyatakan bahawa statistik jaringan pemain itu membuktikannya.

“Oleh sebab itu dia dipanggil sekali lagi,” kata sumber itu.

Aguero mengetuai jentera serangan City di Liga Perdana Inggeris dan meledak gol Ahad lalu apabila mereka menyempurnakan gelaran kedua berturut-turut hasil kemenangan 4-1 ke atas Brighton and Hove Albion.

Selain Aguero, jagoan Barcelona Lionel Messi dan pemain Paris St Germain Angel Di Maria bakal berada dalam skuad itu.

Copa America yang akan diadakan di Brazil dari 14 Jun hingga 7 Julai, akan mempertaruhkan aksi 10 pasukan Amerika Selatan selain Qatar dan Jepun sebagai jemputan.

Argentina yang kini dikendalikan Lionel Scaloni sejak pemergian Jorge Sampaoli tahun lalu akan beraksi dalam Kumpulan B bersama-sama Colombia, Paraguay dan Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 9:27 AM