SOLSKJAER akui bilik persalinan United sunyi sepi selepas penentuan penalti. FOTO EPA
SOLSKJAER akui bilik persalinan United sunyi sepi selepas penentuan penalti. FOTO EPA
AFP

Gdansk: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berkata, dengan hanya satu sepakan ia mengubah segala-galanya apabila skuad bimbingannya tumpas kepada Villarreal dalam perlawanan akhir Liga Europa.

Gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu kekal tanpa sebarang trofi utama dalam tempoh empat tahun selepas tumpas 11-10 dalam penentuan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 hingga ke masa tambahan.

Perlawanan yang berlangsung di Gdansk itu menyaksikan penjaga gol United, David De Gea gagal menyempurnakan sepakan terakhir.

"Suasana di bilik persalinan sunyi dan semua kecewa. Inilah bola sepak. Ada kalanya ia diputuskan dengan hanya satu sepakan dan itulah yang membezakan antara menang dan kalah.

"Kami tidak beraksi dengan baik, di mana kami sendiri sedar kami mampu. Kami bermula dengan tenang dan mereka yang berjaya mendapatkan jaringan. Satu-satunya sepakan tepat ke sasaran. Kami sangat kecewa melepaskan gol melalui sepakan percuma.

"Kami berusaha, menekan dan memperoleh jaringan. Selepas kami menjaringkan gol kami tidak mengawal perlawanan atau mendominasi seperti yang kami mahukan.

United bergelut untuk mencipta peluang walaupun mendominasi perlawanan dan jelas kelihatan penat pada masa tambahan.

"Perasaan yang terbuku di dalam sukar untuk dijelaskan. Kami datang sini untuk menang. Kami bekerja keras sepanjang musim dan inilah peluang untuk memenangi trofi namun ia tidak berlaku," kata penyerang, Marcus Rashford.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 8:27 AM