SUMAREH dapat merasai pengalaman mengendalikan beberapa peralatan di kokpit. FOTO Ihsan Instagram sumareh_jnr26
SUMAREH dapat merasai pengalaman mengendalikan beberapa peralatan di kokpit. FOTO Ihsan Instagram sumareh_jnr26
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tonggak naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh diberi peluang untuk duduk di kerusi juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) sebelum skuad Harimau Malaya berlepas ke Bahrain semalam.

Menerusi satu video yang dimuatnaik di laman Story Instagram milik Sumareh, pemain sayap itu bersama beberapa tonggak lain diberi peluang untuk melihat sendiri ruang kokpit yang menempatkan dua juruterbang di ruang hadapan pesawat khas terbabit.

Malah, Sumareh sendiri dapat merasai pengalaman mengendalikan beberapa peralatan di kokpit itu, sambil acah-acah sedang menerbangkan pesawat itu.

Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu juga sempat bergurau apabila menanyakan soalan kepada rakan sepasukan, ke mana destinasi yang ingin dituju.

Paling menggelikan hati, ketika dia olok-olok sedang mengendalikan pesawat, Sumareh sempat mendendangkan lagu Balik Kampung nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

"Korang nak pergi mana? Balik kampung...oh oh... balik kampung," nyanyinya sambil rakan yang lain geli hati dengan gelagat lucu tonggak kelahiran Gambia itu.

Semalam, skuad kendalian Tan Cheng Hoe berlepas ke Bahrain bagi menjalani latihan selama lima hari di sana serta mengadakan aksi persahabatan menentang tuan rumah di Stadium Nasional Bahrain, Riffa, Jumaat ini.

Pada Ahad lalu, pasukan negara tewas 1-4 kepada Kuwait dalam satu aksi persahabatan tertutup di UAE sebagai persediaan awal menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai bermula 3 Jun ini.

Untuk rekod, MAS menyediakan penerbangan khas buat skuad Harimau Malaya termasuk melakukan empat penerbangan dari Kuala Lumpur ke Dubai, Dubai ke Manama, Bahrain, Manama ke Dubai dan Dubai ke Kuala Lumpur untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa seterusnya memulakan kempen kelayakan.

Lebih mengujakan, pasukan negara dijadual pulang ke tanah air dengan pesawat A330-300 berlatarbelakangkan liveri Harimau Malaya sebaik kempen kelayakan berakhir selepas 15 Jun ini.

Pasukan negara akan meneruskan baki saingan Kumpulan G kempen kelayakan bertemu UAE pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand pada 15 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 2:22 PM