PENGENDALI Sarawak United FC, E Elavarasan ceria selepas pasukannya kembali memimpin Liga Perdana. FOTO Malik Muhamad
PENGENDALI Sarawak United FC, E Elavarasan ceria selepas pasukannya kembali memimpin Liga Perdana. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pendahulu Liga Perdana, Sarawak United FC, tidak mahu bertindak terburu-buru menukar pemain importnya ketika jendela kedua perpindahan pemain sudah dibuka sejak 3 Mei lalu.

Sebaliknya pengendali skuad Kenyalang Emas itu, E Elavarasan masih meneliti perkembangan semasa anak buahnya itu selain perlu berbincang dengan pihak pengurusan pasukan lebih-lebih lagi tempoh perpindahan pemain masih panjang dengan berbaki 22 hari lagi sehingga 31 Mei ini.

Namun dengan prestasi semasa pasukan yang kini berada pada tahap terbaik terutama dengan memimpin carta Liga Perdana, beliau membayangkan tidak akan melakukan rombakan kecuali jika kecederaan pemain tengah kelahiran Brazil, Sandro Da Silva berpanjangan.

"Pada masa ini kita belum membuat sebarang keputusan lagi, namun situasi jendela kedua perpindahan pemain ini macam-macam boleh berlaku, tapi saya menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan kerana tugas saya adalah untuk melatih pasukan.

"Lagipun jika kita buat pertukaran sudah tentu akan mengecewakan pemain, tapi dengan pasukan kini berada di kedudukan teratas liga, kita akan meneliti sedalam-dalamnya selain mendengar pendapat pihak pengurusan.

"Namun ianya juga bergantung kepada kecederaan Sandro yang sudah tiga perlawanan tidak beraksi, tapi saya jangkakan dia sempat pulih dalam tempoh liga berehat," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang berkesudahan pasukannya merakam kemenangan 3-2 menumpaskan Kelantan United FC.

Mengulas perlawanan itu Elavarasan akui secara keseluruhan anak buahnya beraksi dengan baik walaupun pada awal babak kedua sedikit longlai selepas lawan mendapat rentak sehingga skuadnya ketinggalan 2-1.

"Permulaan babak pertama pemain nampak stabil walaupun terlepas peluang untuk mendahului pada minit ke-14 selepas Norshahrul Idlan Talaha gagal menghasilkan jaringan, tapi deretan peluang berjaya dicipta namun gagal disudahkan dengan gol.

"Permulaan separuh masa kedua lawan lebih bahaya daripada kita kerana bahagian tengah kurang dikuasai pemain selain pertahanan dan penjaga gol leka sehingga membawa padah dua gol dapat dihasilkan lawan.

"Bagaimanapun selepas kita membuat dua pertukaran pemain, kita kembali bertenaga serta bernafas sehingga berjaya meledak dua jaringan lagi untuk mengutip tiga mata," katanya yang mengakui pasukannya berada di landasan terbaik untuk layak ke saingan Liga Super musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 2:36 PM