PEMAIN PJ City, Muhammad Faiz diasak pertahanan Kuala Lumpur di Stadium MBPJ. FOTO Fathil Asri
PEMAIN PJ City, Muhammad Faiz diasak pertahanan Kuala Lumpur di Stadium MBPJ. FOTO Fathil Asri
Syazwan Msar


Petaling Jaya: Gol saat akhir menyelamatkan maruah PJ City untuk membawa pulang satu mata selepas seri 2-2 ketika bertemu Kuala Lumpur City FC dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Semangat melawan pasukan 'Made in Malaysia' itu yang dilihat pada awalnya akan pulang dengan tangan kosong namun berjaya bangkit menerusi jaringan ayam tambatan R Kogileswaran pada masa tambahan separuh masa kedua.

Pada separuh masa pertama perlawanan menyaksikan agak suram apabila tiada sebarang gol berjaya dicetak kedua-dua pasukan. Cuma beberapa serangan dilakukan skuad kendalian Bojan Hodak hampir memecah kebuntuan gol namun penyudah yang lemah menyaksikan separuh masa pertama berakhir tanpa sebarang jaringan.

Corak perlawanan kedua-dua pasukan berubah pada separuh masa kedua dengan skuad kendalian P Maniam lebih ghairah mahu mencari gol pembukaan.

Usaha PJ FC ternyata berbaloi apabila sepakan Mahali Jasuli pada minit 50 terkena pertahanan KL City FC Irfan Zakaria untuk kedudukan 1-0.

Tersentak dengan jaringan terbabit, KL City FC cuba mengatur serangan sekali gus berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang importnya Paulo Jose pada minit 52.

KL City FC tidak perlu menunggu lama untuk mendahului perlawanan apabila tonggak skuad The City Boy Hadin Azman meletakkan pasukan pelawat di depan menerusi gol kedua selang lima minit kemudian.

Ketika perlawanan dilihat memihak kepada pasukan pelawat, rembatan deras Kogi menyelamatkan skuad PJ City daripada pulang hampa untuk gol penyamaan ketika masa tambahan separuh masa kedua.

Perlawanan berkesudahan 2-2 menyaksikan PJ City berada di tangga kelima liga dengan 10 mata manakala KL City FC pula di kedudukan keenam menerusi sembilan mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 11:19 PM