ELAVARASAN. FOTO Nazri Abu Bakar
ELAVARASAN. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar

Melaka: Ketiadaan dua pemain tengah Sandro Da Silva dan Lee Chang Hoon jelas dirasai Sarawak United selepas tewas mengejut kepada PDRM 0-2 pada aksi Liga Perdana di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Jurulatih Sarawak United, E Elavarasan berkata, lebih dirasai ketiadaan kapten pasukan, Taylor Regan yang terpaksa dikeluarkan pada awal babak pertama susulan kecederaan menyebabkan kesan yang lebih besar terhadap persembahan sehingga mengutip kekalahan pertama musim ini.

Katanya, kehilangan dua tunjang penting itu termasuk Regan jelas menjejaskan persembahan pasukan walaupun pengganti mereka tetap berusaha gigih untuk memenuhi perancangan.

Sebaliknya, lawan dilihat lebih konsisten dalam mempertahankan kubu mereka sehingga ruang anak buahnya melakukan percubaan bahaya tidak dapat direalisasikan selepas kemenangan besar 7-1 menewaskan skuad Projek FAM-MSN di gelanggang lawan sama minggu lalu.

Menurutnya, pergerakan kurang `menjadi' penyerang utama Uche Agba dan Norshahrul Idlan Talaha yang dikawal ketat benteng lawan juga jelas menghalang mereka untuk mengancam kubu pelawat.Hanya percubaan Christie Jayaseelan pada minit ke-10 mengegar tiang gol lawan yang boleh dimanfaat dengan gol selebihnya pelawat lebih banyak melakukan percubaan bahaya namun kecemerlangan penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee mengelak kubu Sarawak United bocor dengan jaringan lebih besar.

Malah, Elavarasan juga menafikan bulan Ramadan antara punca kekalahan pertama skuad bimbingannya kerana lawan juga mengharungi situasi sama, namun pelawat lebih menyerlah menerusi motivasi kental untuk menumbangkan Sarawak United yang berada di kedudukan teratas liga.

"Apa yang pasti pertahanan lawan beraksi dengan begitu baik dan fokus untuk mengelak kubu daripada dibocori selain usaha keras mereka untuk mengelak kekalahan yang boleh menjejaskan kedudukan di carta liga.

"Kekalahan pertama ini perlu memberi pengajaran untuk pemain lebih berhati- hati dalam aksi selepas ini kerana setiap mata perlawanan amat penting. Kehilangan sebarang mata boleh menyebabkan kedudukan pasukan di persada liga boleh terjejas kerana setiap pasukan kini memiliki persefahaman yang semakin baik,"katanya.

Baginya, tiada laluan selesa buat Sarawak United walaupun menghuni tangga teratas kerana Johor Darul Tazim (JDT), Negeri Sembilan dan Kelantan bakal terus menghambat mereka susulan kekalahan sulung terbabit.

Gol kemenangan The Cops dihadiahkan menerusi sepakan penalti Lazarus Kaimbi pada minit ke-79 dan pemain gantian Mohammad Nabil Ahmad Lafti pada minit ke-97 perlawanan sekali gus mengejutkan Sarawak United.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 12:40 PM