B Sathianathan. FOTO File NSTP
B Sathianathan. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bukan hanya gaji pemain bola sepak sahaja terjejas namun sebenarnya pendapatan jurulatih Liga Malaysia (Liga M) ketika ini turut mengalami penurunan sekurang-kurangnya 30 peratus.

Malah, ada antara jurulatih Liga Malaysia (Liga M) hanya ditawarkan dengan gaji RM16,000 walaupun sebelum ini mereka ditawarkan sekurang-kurangnya RM20,000 untuk memimpin pasukan dalam Liga M.

Situasi terbabit didedahkan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan selepas melihat situasi pandemik Covid-19 turut menyebabkan pengendali pasukan menerima tempias apabila sumber pendapatan mereka turut dipotong sebagai langkah penjimatan.

Beliau berkata, ketika ini kebanyakan jurulatih memperoleh pendapatan antara RM16,000 hingga RM30,000 sahaja termasuklah pengendali daripada luar negara.

Katanya, perkara terbabit harus diterima memandangkan musim 2021 cukup mencabar dengan pasukan kehilangan penajaan sekali gus berdepan masalah untuk menawarkan gaji tinggi kepada mereka.

"Gaji kebanyakan jurulatih tempatan sememangnya mengalami penurunan berbanding musim lalu dan mereka harus menerima situasi berkenaan kerana pasukan kekurangan dana.

"Mereka mempunyai pilihan sama ada mahu tandatangan kontrak atau sebaliknya namun jika tidak berbuat demikian akan kehilangan pasukan nanti.

"Ramai yang melihat pemain sahaja yang terjejas sumber pendapatan apabila gaji mereka dipotong walaupun hakikatnya jurulatih turut menerima nasib sama," katanya.

Selain itu, Sathia berkata, terdapat jurulatih asing yang menerima gaji bawah RM20,000 sebulan sekali gus turut menyebabkan pengendali tempatan menerima tempias pemotongan pendapatan mereka.

"Saya dengar ada jurulatih asing menerima gaji RM16,000 saja dan ini sebenarnya tidak baik kerana akan menjejaskan pendapatan pengendali tempatan.

"Walaupun mereka menerima gaji kecil namun pasukan menyediakan rumah dan kereta selain turut menampung cukai yang dikenakan terhadap pengendali itu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 11:55 PM