PEKERJA penyelenggaraan melakukan proses sanitasi di sekitar Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
PEKERJA penyelenggaraan melakukan proses sanitasi di sekitar Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Gelanggang rasmi pasukan Terengganu FC (TFC), Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di Gong Badak disanitasi bermula hari ini sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19 menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga M) pada 5 Mac depan.

Kawasan padang, bilik persalinan pemain, bilik media, bangku simpanan dan kawasan sekitarnya antara lokasi yang disanitasi di stadium berkenaan.

Turut disanitasi kawasan sekitar Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) yang terdiri daripada stadium tertutup, padang hoki, ragbi, stadium mini, litar permotoran, padang latihan bola sepak dan gelanggang boling padang.

Proses sanitasi itu dilaksanakan pengurusan KSNT di bawah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) sebagai persediaan awal selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan pasukan Liga M menjalani latihan menerusi konsep gelembung sukan.

Penolong Pengarah Pengurusan KSNT, MSNT, A Zulkefli Mohammad berkata, proses sanitasi itu melibatkan seluruh kawasan kompleks sukan di Terengganu bagi memastikan lokasi berkenaan bebas daripada sebarang ancaman pandemik Covid-19.

"Proses sanitasi ini adalah antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak kerajaan dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum pasukan menjalani sesi latihan masing-masing dan perlawanan.

"Petugas kami seramai 10 orang diketuai Mohd Aliff Hafifi Mohammad sudah ada pengalaman selepas mendapat pendedahan dan latihan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu sebelum ini.

"Cecair sanitasi juga menggunakan bahan imec 556 yang disyorkan dan diluluskan oleh pihak bomba dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan pengawalan ketat di lokasi yang disanitasi.

"Selain itu pihak polis juga kerap melakukan pemantauan bagi memastikan kawasan kompleks ini benar-benar selamat dan bebas daripada ancaman pandemik itu, biarpun setakat ini belum ada lagi kes wabak itu.

"Ini kerana kami masih lagi berhati-hati menguruskan kompleks sukan ini kerana di sini menjadi pusat sukan terutama bola sepak dan juga atlet Sukan Malaysia (Sukma) berlatih.

"Selepas ini kami akan buat sanitasi secara berkala bagi memastikan pengunjung ke kawasan kompleks dan juga Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin ini berasa selamat, namun mereka perlu mengikut SOP yang ditetapkan pihak MKN termasuk menggunakan pelitup muka dan ada jarak satu meter antara mereka," katanya ketika ditemui di KSNT hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 6:25 PM