Pemain import Negeri Sembilan, Igor Luiz (kanan) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukannya.
Pemain import Negeri Sembilan, Igor Luiz (kanan) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukannya.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan dijangka akan menggunakan hanya tiga pemain import bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan, berbanding empat pemain import musim 2020.

Tiga pemain import terbabit dijangka bakal mengisi posisi utama dalam pasukan itu khususnya di posisi penyerang.

Menurut sumber Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC), perkara itu sudah dibincangkan dalam kalangan pegawai Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) dan NSFC khususnya jawatankuasa pemilihan sebelum ini iaitu berkaitan perancangan bagi pembentukan pasukan baharu.

"Berdasarkan perancangan awal, setakat ini Negeri Sembilan merancang untuk menggunakan hanya tiga pemain import bagi menghadapi saingan Liga Perdana musim depan.

"Namun pemain berkenaan yang dipilih kelak sudah pasti mereka yang benar-benar layak dan menepati kehendak serta keperluan strategi yang dirangka ketua jurulatih, K Devan," katanya hari ini.

Menurut sumber itu, ketiga-tiga pemain import berkenaan sudah dikenal pasti oleh jawatankuasa pemilihan dan barisan kejurulatihan skuad Hobin Jang Hobin, namun setakat ini, mereka belum menandatangani sebarang kontrak dengan pasukan.

"Saya menjangkakan proses itu (menandatangani kontrak) pemain import baharu di jangka akan dibuat tidak lama lagi atau awal tahun depan kerana pemain dari luar negara yang tiba di sini perlu dikuarantin terlebih dulu.

"Selepas keputusan dibuat, NSFC akan mengumumkan nama mereka yang dipilih. Apa yang jelas semua pemain import yang beraksi bersama Negeri Sembilan bagi musim tahun ini (2020), sudah diketepikan," katanya.

Musim ini, Negeri Sembilan menggunakan empat pemain import dengan tiga daripadanya berasal dari Brazil iaitu Matheus Vila, Almir Neto dan Igor Luiz selain Shunsuke Nakatake dari Jepun, yang sudah mengumumkan persaraan, baru-baru ini.

Setakat ini, dua pemain import dikatakan sedang berada dalam radar NSFC iaitu Alain Akono dari Cameroon berusia 24 tahun dan Bae Beom Geun, 27 tahun dari Korea Selatan.

Beom tidak asing di bawah bimbingan Devan kerana pemain itu pernah beraksi bersama Petaling Jaya (PJ) City musim 2018-2019.

NSFC sebelum ini telah mengikat beberapa pemain baharu, antaranya pertahanan dari Selangor 2, Raja Imran Shah Raja Amin, tiga bekas pemain PJ City FC iaitu adik beradik R Barathkumar (penyerang) dan R Aroon (pertahanan) serta Damien Lim (penjaga gol).Turut di sambar NSFC ialah tiga bekas Melaka United (MU), Saiful Ridzuwan Selamat (pemain tengah), Annas Rahmat (pertahanan) dan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir (penyerang).Selain itu, tiga bekas pemain Felda United FC iaitu Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir dan Osman Yusoff yang kedua-dua mereka pemain pertahanan serta Mohd Muhaimin Mohamad (penjaga gol), selain pemain pertahanan Terengganu FC, Nasrullah Haniff Johan antara yang turut bersama NSFC, musim hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 6:02 PM