KANE mengakui dia berada pada tahap terbaik sepanjang hidupnya. FOTO AFP
KANE mengakui dia berada pada tahap terbaik sepanjang hidupnya. FOTO AFP
AFP

London: Harry Kane percaya dia berada pada tahap terbaik sepanjang hidupnya untuk memberi inspirasi kepada kemenangan Tottenham mengalahkan Arsenal 2-0 seterusnya membolehkan pasukan bimbingan Jose Mourinho itu berada di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ketua pasukan England itu menjaringkan gol kelapan liga musim ini dan yang ke-250 dalam kariernya bersama kelab serta negara, pada hujung separuh masa pertama dalam aksi awal pagi semalam.

Dalam pada itu dia mencipta rekod penjaring terbanyak dalam pertemuan seteru tetangga London dengan 11 gol.

Sebelum itu dia melakukan hantaran menghasilkan jaringan yang ke-10 dalam kempen EPL, bagi membolehkan Son Heung Min meledak gol pembukaan menakjubkan.

Kane, 27, mendapat pujian kerana dilihat lebih kreatif di atas padang.

"Saya boleh katakan ini adalah prestasi terbaik dalam kehidupan saya, permulaan yang paling baik untuk saingan awal musim.

"Bagaimanapun, perjalanan masih lagi panjang. Saya pernah melalui di mana kami berada di tangga teratas buat seketika namun ia adalah perlumbaan yang sangat jauh dan sukar untuk kami kekal sehingga akhir.

"Kami tidak berjaya menduduki tangga teratas sejak beberapa tahun kebelakangan ini namun kami berdepan setiap perlawanan tidak kira apa pun rintangan mendatang.

"Keputusan yang kami catatkan ketika menentang Arsenal dan Manchester City beberapa minggu lalu, akan membantu kami, jadi kami hanya perlu kekalkan agar ia konsisten," katanya.

Spurs berjaya meraih tujuh mata daripada tiga perlawanan menentang City, Chelsea dan The Gunners.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 8:15 AM