MOHAMAD Faisal sah menjadi milik Terengganu FC musim depan. FOTO Ihsan TFC
MOHAMAD Faisal sah menjadi milik Terengganu FC musim depan. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang muda, Mohamad Faisal Abdul Halim menjadi pemain pertama menandatangani kontrak bersama pasukan Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh menjelaskan TFC mengikat kontrak pemain kelahiran Pulau Pinang itu selama dua tahun.

"Ya kita baharu sahaja selesai menandatangi kontrak pemain berasal dari Pulau Pinang itu yang sebelum ini menyarung jersi pasukan Pahang.

"Pemain berusia 22 tahun itu diikat selama dua tahun bermula 2021 hingga 2022. Keputusan menggunakan khidmat Faisal adalah percaturan ketua jurulatih, Nafuzi Zain.

"Kehadiran pemain yang lebih mesra dipanggil 'Mickey' itu bakal memperkuatkan lagi jentera serangan dan tengah pasukan kerana dia mempunyai kebolehan menggelecek serta menjaringkan gol.

"Kita mengalukan pemain itu dan pada masa sama mengharapkan dia mampu menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan lebih-lebih lagi TFC bakal bersaing dalam pentas Piala AFC musim depan," katanya kepada Sukan NSTP.

Bekas pemain skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan itu memulakan karier dengan menyarung jersi Pulau Pinang pada 2015 sebelum dipinang pasukan Pahang setahun kemudian.

Faisal, yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Impian, Pulau Pinang sebelum ini pernah menyertai program realiti Mencari Ramli.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 8:05 PM