RAMLI sarankan lebih baik penumpuan kepada pembentukan bakat baharu. FOTO NAZRI ABU BAKAR
RAMLI sarankan lebih baik penumpuan kepada pembentukan bakat baharu. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar

Melaka: Sudah sampai masanya pasukan Melaka United (MU) memberi keutamaan kepada pemain muda sebagai persiapan jangka panjang dalam misi meraih kejayaan besar di pentas Liga Malaysia.

Bekas pemain Olimpik 1980 Ramli Junit berkata, kegagalan meraih kejayaan membanggakan memerlukan pengurusan pelan baharu bagi merealisasi impian besar peminat.

Katanya, sebagai contoh dengan pasukan dibarisi ramai bekas pemain kebangsaan pada musim 2019 dan 2020 namun kejayaan masih gagal diperoleh seharusnya fokus perlu lebih terarah kepada langkah berbeza bukan sasaran jangka pendek.

Menurutnya, tidak mustahil jika ia dilaksanakan dalam tempoh tiga atau lima tahun Melaka mampu muncul sebagai pencabar Liga Malaysia terutama kepada Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Pada musim ini semua menjangkakan pasukan Hang Tuah mampu menjadi pencabar utama Liga Malaysia atau meraih kedudukan terbaik liga namun sebaliknya berlaku.

"Setiap awal musim sasaran amat positif namun akhirnya tidak menjadi kenyataan. Sehubungan itu, lebih baik penumpuan kepada pembentukan bakat baharu dengan sasaran lebih relevan dan bukan tinggal impian sahaja," katanya.

Malah, pasukan terbabit juga boleh menyelitkan beberapa pemain berpengalaman untuk membarisi skuad berkenaan sebagai mematangkan persembahan mereka.

Ramli berkata, beliau amat yakin jika pemain muda didedahkan lebih kerap pada saingan kompetitif tidak mustahil mereka memiliki masa depan yang cerah sebagai barisan utama yang bakal menjulang piala buat pasukan.

Justeru, langkah terbabit secara langsung menjimatkan kos pengurusan pasukan berbanding memiliki pemain bintang dengan gaji yang lebih tinggi.

Baginya, pemain muda kebiasaan akan bertindak proaktif dan agresif bagi memastikan mereka mendapat tempat dalam masa sama melonjak saham mereka.

Berikutan itu, panel penilai perlu dibentuk dengan mereka yang berpontensi perlu diserap untuk kontrak tiga hingga lima tahun

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 9:10 PM