Cocu (kiri) berbincang sesuatu bersama Rooney. FOTO Agensi
Cocu (kiri) berbincang sesuatu bersama Rooney. FOTO Agensi
AFP

London: Pengurus Derby, Phillip Cocu meninggalkan kelab yang bergelut dalam saingan Liga Kejuaraan Inggeris selepas mencapai persetujuan bersama ketika bekas bintang England, Wayne Rooney dinamakan calon pilihan sebagai jurulatih sementara untuk tugas itu.

Bekas pemain tengah Barcelona dan Belanda, Cocu mengambil alih tugas di Derby tahun lalu susulan perpindahan Frank Lampard ke Chelsea.

Pengendali berusia 50 tahun itu gagal memenuhi tuntutan dinaikkan ke liga utama dan Derby menamatkan saingan di tempat ke-10 musim lalu menghuni kedudukan tercorot liga musim ini.

Derby hanya menang satu daripada 11 perlawanan awal liga musim ini sekali gus menambah tekanan buat Cocu.

Cocu terlepas akhir terakhir skuad Rams - kekalahan menentang Barnsley - kerana dia kini menjalani kuarantin selepas mempunyai kontak rapat dengan Ketua Eksekutif Derby, Stephen Pearce yang disahkan positif Covid-19.

Bekas kapten England, Rooney menyertai Derby pada Januari lalu ketika penyerang berusia 35 tahun itu dikatakan mahu mengambil langkah pertama menceburi bidang kejurulatihan dan pada masa sama tetap meneruskan karier sebagai pemain.

Susulan pemergian Cocu, beberapa pihak mencadangkan bekas penyerang Manchester United itu kini perlu bersedia memikul tanggungjawab sebagai pengurus.

"Saya mohon maaf kerana Phillip dan kakitangannya meninggalkan kelab dan saya mahu berterima kasih secara peribadi terhadap semua pertolongan dan galakannya untuk menerima saya sebagai salah seorang daripada pasukan kejurulatihan ini," kata Rooney dalam satu kenyataan.

"Perkara yang paling penting ketika ini adalah menstabilkan kedudukan kelab dan mula memperbaiki kedudukan di carta liga. Saya ditanya untuk mengambil peranan dalam staf kejurulatihan bagi membantu persediaan pasukan menjelang perlawanan berdepan Bristol City, Sabtu ini.

"Justeru pasukan jurulatih dan saya akan bercakap dengan pemain pada Isnin nanti."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 1:47 PM