SKUAD Piala Thomas negara diundi dalam Kumpulan D bersama pilihan kedua, Denmark, Hong Kong dan Algeria. FOTO Reuters
SKUAD Piala Thomas negara diundi dalam Kumpulan D bersama pilihan kedua, Denmark, Hong Kong dan Algeria. FOTO Reuters
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Peluang skuad negara untuk meraih keputusan positif dalam saingan akhir Piala Thomas tetap ada namun semuanya bergantung kepada senarai nama pemain yang akan menggalas tanggungjawab itu kelak.

Bekas pemain skuad Piala Thomas negara, Ong Ewe Hock berkata, pasukan negara masih boleh melakukan kejutan dengan memenangi kejohanan itu namun perlu terlebih dahulu melepasi saingan peringkat kumpulan.

"Melihatkan undian memang satu kelebihan tetapi lebih penting untuk pemain kita bermain dengan baik pada kejohanan itu nanti.

"Senarai pemain yang akan mewakili negara pun masih belum kita tahu, mungkin di saat akhir nanti akan ada pemain yang mengalami kecederaan dan sebagainya," katanya.

Oleh itu, beliau berkata, Malaysia perlu berusaha keluar dari peringkat kumpulan tidak kira sebagai juara atau naib juara.

"Kalau kita nak ke suku akhir, kita perlu memenangi semua perlawanan atau dua perlawanan, tetapi jadi naib juara, selepas itu baru fikir siapa akan kita lawan," katanya.

Berdasarkan undian oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam menyaksikan skuad Piala Thomas negara diundi dalam kumpulan D bersama pilihan kedua, Denmark, Hong Kong dan Algeria dengan kejohanan akan berlangsung di Chengdu, China, 28 April hingga 5 Mei depan.

Sementara pilihan utama, China berada dalam kumpulan A bersama Korea Selatan, Kanada dan Australia.

Pasukan Jepun pula mengetuai kumpulan B bersama Taiwan, Jerman dan Republik Czech, manakala Indonesia dalam kumpulan C bersama juara bertahan, India, Thailand dan England.

Kali terakhir skuad Piala Thomas ke perlawanan akhir pada edisi 2014 di New Delhi, yang menyaksikan barisan pemain diketuai Datuk Lee Chong Wei tewas 2-3 kepada Jepun.

Kali terakhir Malaysia membawa pulang trofi Piala Thomas pada edisi 1992 yang menyaksikan skuad negara menewaskan Indonesia 3-2.

Pemain yang menjulang nama negara ketika itu termasuk Datuk Rashid Sidek, Razif-Jalani Sidek, Foo Kok Keong, Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang dan Kwan Yoke Meng.

Selepas itu, skuad negara beraksi di tiga final iaitu 1994, 1998 dan 2002 namun ketiga-tiganya tewas kepada Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 3:12 PM