ZII JIa tunduk sugul selepas tewas pada pusingan pertama Terbuka Indonesia di sini hari ini. FOTO Bernama
ZII JIa tunduk sugul selepas tewas pada pusingan pertama Terbuka Indonesia di sini hari ini. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Nilai: Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020, Datuk Azizulhasni Awang menggesa pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memecahkan 'tembok' yang menghalangnya keluar daripada kemerosotan prestasi.

Menurut Azizulhasni, dia bersetuju dengan keputusan pemain itu yang mahu berehat seketika dari dunia badminton dan hanya Zii Jia sendiri tahu apa yang terbaik buat dirinya.

"Saya rasa bagus untuk dia 'step back' sikit, set semula dan bangkit… dia mempunybai bakat yang baik. Cuma saya rasa dia kekurangan dari segi semangat melawan, dari segi mentaliti pula, dia perlu ada pemikiran 'Kita Juara'," kata Azizulhasni, ketika diminta mengulas mengenai hasrat yang disuarakan Zii Jia, sebaik tersingkir di pusingan pertama Terbuka Indonesia, semalam.

Berkongsi pengalamannya ketika meningkat naik sekitar 2007/2008, pelumba yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman berharap Zii Jia cepat menyerap tekanan.

Bagaimanapun, pelumba berusia 35 tahun itu harap Zii Jia lebih banyak bertenang dan bersabar, kerana semua kekuatan yang ada datang dengan pengalaman.

"Semoga dia akan ada jurulatih yang bagus selepas ini, ahli psikologi yang baik juga penting kerana hanya dia yang tahu apakah faktor diperlukan untuk memajukan dirinya," kata Azizulhasni.

Pada Terbuka Indonesia semalam, Zii Jia tersingkir di pusingan pertama apabila tewas 17-21, 13-21 kepada pemain India, Lakshya Sen.

Sepanjang tahun ini, dia turut tersingkir di pusingan pertama Terbuka Singapura dan Terbuka Malaysia, selain tersingkir di pusingan kedua Terbuka India, Indonesia Masters, Terbuka Jerman, dan Malaysia Masters.

Malah berdasarkan kemaskini ranking dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pemain itu berada di ranking ke-11 dunia, sekali gus tidak memenuhi antara syarat untuk berada dalam program Road to Gold (RTG).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 4:01 PM