ZII Jia turut mengagumi LeBron James.
ZII Jia turut mengagumi LeBron James.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Bercerita mengenai idola atau ikon pasti seseorang mempunyai pilihan tersendiri dan ia sudah tentu berbeza bagi setiap inidividu.

Hal ini kerana dikatakan sesiapa mempunyai idola dalam hidup dilihat lebih teguh usahanya untuk mencapai cita-cita seperti ikon yang dikagumi.

Bagi perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, dia menjadikan pemain bola keranjang, LeBron James dan legenda bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo sebagai idolanya.

"Saya sebelum ini pernah melihat sukan seperti bola sepak dan bola keranjang. Jadi saya memilih LeBron James dan Cristiano Ronaldo," katanya kepada pihak penganjur kejohanan Seluruh England baru-baru ini ketika ditanya berkenaan idolanya selain dari sukan badminton.

Ia bukanlah mengejutkan apabila Zii Jia memilih penjaring terbanyak sepanjang zaman NBA memandangkan kedua-dua ibu dan bapanya merupakan bekas atlet kebangsaan bagi sukan berkenaan.

Selain Zii Jia, penganjur kejohanan tertua itu turut berkongsikan idola beberapa pemain badminton ternama dunia dalam video berdurasi satu minit 21 saat itu.

Antaranya pemain beregu lelaki, Muhammad Ahsan-Hendra Setiawan yang berkongsi idola yang sama seperti Zii Jia iaitu Ronaldo.

Bagi rakan senegara mereka, Bagas Maulana, dia mengidolakan pelumba MotoGP Marc Marquez manakala pasangannya, Muhamad Shohibul Fikri memilih jaguh tenis dunia dari Sepanyol, Rafael Nadal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 6:36 PM