HOKI dan Kobayashi benam beregu Indonesia. FOTO Aswadi Alias
HOKI dan Kobayashi benam beregu Indonesia. FOTO Aswadi Alias
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasangan dari Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi menutup tirai Terbuka Malaysia dengan kemenangan mengatasi beregu Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dalam aksi final di Axiata Arena, sebentar tadi.

Pasangan yang berada di ranking kedua dunia itu berjaya menewaskan pasangan Indonesia menerusi tiga set 24-22,16-21, 21-9 dalam tempoh sejam lima minit.

Jelas sekali kemenangan pasangan Jepun itu bukanlah mudah apabila terpaksa berhempas pulas untuk menjinakkan lawannya yang berada di ranking ketujuh dunia itu.

Walaupun memenangi set pertama, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dikejutkan dengan kebangkitan Fajar-Muhammad Rian pada set kedua sebelum tewas 16-21.

Ternyata pengalaman yang dimiliki oleh wakil dari negara matahari terbit itu cukup membantu untuk merekodkan kemenangan pada set penentuan sekali gus melayakkannya bergelar juara Terbuka Malaysia.

Sebagai rekod, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi baru digandingkan sejak tahun lalu dan masing-masing kali pertama menjuarai Terbuka Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 8:21 PM