ISMAIL Sabri (tengah) mengadakan pertemuan dengan Zii Jia, Jin Wei dan Norza di Perdana Putra hari ini. FOTO Ihsan FB Ismail Sabri Yaakob
ISMAIL Sabri (tengah) mengadakan pertemuan dengan Zii Jia, Jin Wei dan Norza di Perdana Putra hari ini. FOTO Ihsan FB Ismail Sabri Yaakob
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kemelut antara perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hampir selesai walaupun badan induk itu hanya akan mengumumkan keputusan rayuan juara Seluruh England 2021 itu minggu depan.

Ini kerana kedua-dua pihak dilihat bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Perdana Putra tengah hari tadi.

Malah Ismail Sabri sendiri di dalam satu perkongsian di akaun Facebook berkata, semua kemelut yang berlaku sejak minggu lalu antara Zii Jia dan BAM sudah selesai.

"Bertemu dengan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bersama kepimpinan tertinggi BAM. Turut serta, jaguh badminton negara, Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei, di Perdana Putra tengah hari tadi.

"Perbincangan yang bermanfaat. Alhamdulillah semua selesai. Semoga sukan badminton negara terus cemerlang di pentas dunia, dan Jalur Gemilang kembali berkibar di luar negara," kata Ismail Sabri.

Selasa lalu, Zii Jia mengesahkan bahawa dia sudah mendapat restu daripada BAM untuk bergerak secara profesional dan sudah menghantar surat rayuan.

Sebelum ini dia bersama Jin Wei dikenakan tindakan tidak boleh didaftarkan untuk menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa 18 Januari lalu susulan keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara profesional.

Sebelum itu, kedua-dua pemain ini juga sudah berjumpa dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Isnin lalu secara tertutup.

Kelmarin Jin Wei turut menyerahkan surat rayuan agar dia juga mendapat restu bergerak secara profesional dan boleh menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 4:29 PM