AKSI Meng Yean (kanan) dan Mei Kuan hari ini. FOTO AFP
AKSI Meng Yean (kanan) dan Mei Kuan hari ini. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean berdepan laluan sukar apabila tewas pada perlawanan pertama aksi Kumpulan A kepada beregu Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu hari ini.

Mei Kuan-Meng Yean nyata tidak dapat mengekang serangan bertali arus dari beregu nombor enam dunia itu apabila tunduk 14-21, 17-21 di Musashino Forest Sport Plaza, Tokyo dalam tempoh 47 minit.

Dalam aksi set pertama, Mei Kuan-Meng Yean bermula dengan baik namun mereka mula goyah menyebabkan pasangan Indonesia itu menang mudah 21-14.

Beraksi di set kedua Mei Kuan-Meng Yean cuba memberi tentangan apabila berjaya mengikat kedudukan 13 sama.

Namun pengalaman dan ketangkasan Greysia Polii-Apriyani Rahayu sukar di gugat apabila mendahului 20-17.

Mei Kuan-Meng Yean cuba mengejar namun akhirnya terpaksa akur apabila tewas 17-21 dengan pasangan Indonesia itu berjaya membalas dendam kekalahan mereka di Siri Super Final di Thailand, Januari lalu.

Kemenangan hari ini menyaksikan pasangan Greysia-Apriayani menjarakkan lagi rekod kemenangan mereka kepada tiga kemenangan, manakala pasangan Malaysia menang dua.

Peluang bagaimanapun masih terbuka Mei Kuan-Meng Yean namun mereka perlu menang ke atas pilihan utama dari Jepun yang juga beregu nombor satu dunia, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota, esok.

Di atas kertas peluang beregu negara tampak sukar apabila tidak pernah mengatasi Yuki Fukushima-Sayaka Hirota sepanjang enam pertemuan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 1:29 PM