MENG Yean (kiri) dan Mei Kuan bertanding pada temasya Olimpik Tokyo. FOTO Instagram Lee Meng Yean
MENG Yean (kiri) dan Mei Kuan bertanding pada temasya Olimpik Tokyo. FOTO Instagram Lee Meng Yean
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Pemain beregu wanita negara Lee Meng Yean bagaikan sukar menerima hakikat gandingannya lebih sedekad lalu bersama Chow Mei Kuan sudah berakhir susulan persaraan Mei Kuan, Isnin lalu.

Meng Yean, 27, meluahkan isi hatinya dalam laman Instagram terhadap rakan yang sudah dikenalinya sejak zaman remaja.

"Sekalipun saya sudah tahu lebih awal, saya masih berharap hari seperti ini tidak datang terlalu pantas," tulis Men Yean.

"Kita berlatih, makan bersama, bertanding ke luar negara dan bekerja keras sejak zaman remaja. Kita berbual, merungut, menangis dan ketawa bersama... awak seperti adik kandung saya sendiri.

"Selama ini kita selalu menjaga antara satu sama lain dan awak orang pertama yang akan ada di sana bila mana saya berdepan sesuatu masalah. Saya pasti, persahabatan selama 14 tahun ini akan kekal berpanjangan.

"Sekalipun saya agak berat hati, saya tetap menghormati keputusan awak. Terima kasih kerana menjadi gandingan saya dan berjuang di sisi saya dalam tempoh yang begitu lama. Saya akan menghargai setiap detik kenangan yang kita lalui bersama dan pasti tersemat di dalam hati," tulis Meng Yean.

Aksi beregu wanita negara Mei Kuan (kiri) dan Meng Yean ketika mengatasi wakil Britain di Sukan Olimpik Tokyo. FOTO AFP
Aksi beregu wanita negara Mei Kuan (kiri) dan Meng Yean ketika mengatasi wakil Britain di Sukan Olimpik Tokyo. FOTO AFP

Mei Kuan membuat pengumuman mengejut bersara daripada pasukan kebangsaan dan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Isnin lalu selepas menamatkan kempen pada temasya Olimpik Tokyo 2020 sekalipun dia baru berusia 26 tahun.

Hujung bulan lalu di Tokyo, Mei Kuan memenuhi impiannya untuk bertanding pada Sukan Olimpik sulungnya.

Namun penampilan sulung dan terakhirnya bukanlah seperti yang diharapkan apabila dia dan Meng Yean, beregu nombor 11 dunia, hanya menang sekali daripada tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Selepas kalah kepada pemenang pingat emas Greysia Polii-Apriyani Rahayu dari Indonesia dan beregu nombor satu dunia Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dari Jepun dalam dua aksi pertama, mereka mengatasi beregu Britain, Lauren Smith-Chloe Birch sekali gus mengelak menduduki tangga tercorot kumpulan.

"Saya yakin awak akan ada selalu bersama untuk menyokong saya selepas ini. Paling penting, sentiasa ingat kita sudah berbakti untuk negara pada Tokyo 2020," tulis Meng Yean.

Meng Yean dan Mei Kuan mula mencipta nama apabila memenangi pingat perak beregu wanita pada Kejohanan Remaja Asia di Lucknow, India pada 2011 sebelum meraih gangsa setahun kemudian di Gimcheon, Korea Selatan.

Pada Kejohanan Remaja Dunia di Chiba, Jepun pada 2012, mereka merangkul pingat gangsa.

Di peringkat senior, kejayaan terbesar Mei Kuan-Meng Yean adalah menjuarai Kejohanan Antarabangsa Syed Modi pada 2018 dan pingat gangsa Sukan Sea Manila 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 1:18 PM