GAYA Neymar (kiri) meraikan jaringan bersama Julian Draxler. FOTO AFP
GAYA Neymar (kiri) meraikan jaringan bersama Julian Draxler. FOTO AFP
AFP

Paris: Juara Perancis, Paris St Germain terus mempamerkan kebangkitan dengan membelasah Angers 6-1 dengan Neymar menjaringkan dua gol dalam aksi Ligue 1, awal pagi tadi.

Alessandro Florenzi, Julian Draxler, Idrissa Gana Gueye dan Kylian Mbappe turut menemui sasaran di Parc des Princes bagi membolehkan juara Perancis meraih kemenangan keempat berturut-turut selepas memulakan kempen dengan dua kekalahan.

Skuad Thomas Tuchel melonjak ke tangga kedua, satu mata di belakang pendahulu, Rennes yang akan menentang Reims esok.

"Menjaringkan banyak gol meningkatkan keyakinan kami. Ini kemenangan yang hebat,'' kata Tuchel.

Hanya 1,000 penonton dibenarkan memasuki stadium susulan larangan kerajaan yang bimbang dengan ancaman koronavirus.

Florenzi membuka tirai jaringan dengan voli cantik pada minit ke-7 dan Neymar yang mendapat hantaran Mbappe menggandakan jaringan menerusi rembatan jarak dekat sebelum rehat.

Pemain termahal dunia itu menjaringkan gol keduanya dan ketiga PSG sejurus selepas babak kedua bermula.

Ismael Traore merapatkan jurang hasil tandukan Angers tetapi hantaran Mitchel Bakker disudahkan dengan rembatan kencang Draxler untuk kedudukan 4-1 dan gol kelima menerusi Gueye.

Mbappe melengkapkan kemenangan tuan rumah dengan tolakan jarak dekat selepas mendapat hantaran Pablo Sarabia enam minit sebelum tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 7:56 AM