DONNY van de Beek (tengah) meledak jaringan tunggal United ketika mereka kalah 1-3 kepada Palace minggu lalu. FOTO AFP
DONNY van de Beek (tengah) meledak jaringan tunggal United ketika mereka kalah 1-3 kepada Palace minggu lalu. FOTO AFP
AFP

London: Manchester United terdesak memburu tiga mata apabila bertemu Brighton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), malam esok.

Pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer memerlukan kemenangan bagi menebus kekecewaan selepas tewas 1-3 di tangan Crystal Palace dalam aksi sulung EPL, minggu lalu.

Kekalahan itu turut menyaksikan rekod tanpa kalah United dalam 14 perlawanan sejak aksi musim lalu berakhir.

Justeru, kemenangan ke atas Brighton penting bagi meletakkan The Red Devils kembali di landasan dalam misi memburu kejuaraan liga musim ini.

Bagaimanapun, anak buah Solskjaer dijangka berdepan tugas sukar menentang Brighton dengan lawan itu ketika ini berada pada tahap prestasi terbaik selepas bangkit daripada kekalahan 1-3 di tangan Chelsea dalam aksi pertama dengan menundukkan Newcastle United 3-0, Ahad lalu.

United berjaya mengatasi kelab Liga Kejuaraan, Luton dalam aksi Piala Liga, kelmarin biarpun Solskjaer melakukan 10 pertukaran tetapi terpaksa membawa masuk Bruno Fernandes, Marcus Rashford dan Mason Greenwood bagi memastikan kemenangan dalam perlawanan berkenaan.

Dalam aksi itu, Rashford dan Greenwood masing-masing meledak satu gol.

"Kami memerlukan perlawanan yang kompetitif dan minit permainan buat pemain kerana kebiasaannya kami mengharungi aksi pramusim selepas latihan singkat.

"Ia sesuatu yang positif untuk mereka mendapatkan minit permainan dan menjaringkan gol," kata Solskjaer.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 1:22 PM