KEDAH meneruskan perjuangan memburu tiga mata. FOTO ASYRAF HAMZAH
KEDAH meneruskan perjuangan memburu tiga mata. FOTO ASYRAF HAMZAH
Izzali Ismail


Alor Setar : Kedah yang kini menduduki tangga kedua Liga Super menganggap tugas berat bakal dihadapinya apabila berkunjung ke Kuantan untuk menentang Pahang di Stadium Darul Makmur sabtu ini.

Ketua Jurulatihnya Aidil Sharin Sahak berkata, meskipun berjaya mengekalkan kemenangan kali kelima berturut-turut selepas menewaskan skuad Sabah 3-1 Isnin lalu, harus melakukan persiapan dalam tempoh singkat untuk berdepan Pahang yang dianggap sebuah pasukan yang bakal memberi cabaran besar buat skuad Lang Merah.

"Satu tugas berat dan kami bakal berhadapan dengan Pahang yang kita tahu sebuah pasukan yang hebat dan oleh itu kami perlu melupakan istilah penat dan sebaliknya terus berkerja keras bagi memastikan momentum kemenangan dapat kami teruskan di tempat lawan.

"Kami kini terus berada di Kuala Lumpur memandangkan berbaki cuma lima hari selepas perlawanan menentang Sabah isnin lalu bagi mendapat tempoh rehat yang secukupnya sebelum berangkat ke Kuantan esok.

"Perjuangan mencari 'tiga mata' akan kami diteruskan.. dan selepas mengecapi kemenangan lima kali berturut-turut sebelum ini, kami kini perlu teruskan fokus mencari kemenangan selanjutnya untuk mengekalkan kedudukan sedia ada". katanya.

Aidil juga berkata skuadnya yang kini menjalani latihan di Shah Alam perlu memanfaatkan tempoh latihan yang lebih singkat ini bagi memperbaiki setiap kelemahan dan menyusun strategi yang lebih berkesan untuk dicaturkan di tempat lawan nanti.

"Saya juga sentiasa ingatkan kepada semua pemain agar dapat memperbaiki segala aspek kelemahan yang ada dan terus tingkatkan prestasi kerana kita tahu Pahang memiliki pemain-pemain berwibawa dan kita tidak boleh melakukan kesilapan mudah yang boleh menjejaskan peluang untuk Kedah membawa pulang tiga mata.

"Kita perlu terus fokus serta tingkatkan lagi usaha kerana selain beraksi di tempat lawan, skuad kendalian Dollah Saleh ini mampu memberi tentangan yang hebat dalam pelbagai sudut.

"Pengalaman beraksi di Stadium Darul Makmur musim lalu begitu sengit sekali dan pastinya Pahang akan menggandakan usaha mereka untuk mengutip mata penuh di tempat sendiri kali ini dan ia satu perlawanan yang dijangka sengit". katanya.

Kedah bakal berhadapan dua lagi perlawanan mencabar selepas aksi di Kuantan Sabtu ini dengan menentang Melaka United pada 2 Oktober di Stadium Darul Aman dan Perak di Stadium Perak pada 10 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 2:33 PM