Penyerang Sabah, Kassy Guy Mickael Gnabouyou (kanan) cuba melepasi asakan pemain pertahanan Selangor, Mohammad Safuan Baharuddin pada aksi Liga Super di Stadium Likas. FOTO Bernama
Penyerang Sabah, Kassy Guy Mickael Gnabouyou (kanan) cuba melepasi asakan pemain pertahanan Selangor, Mohammad Safuan Baharuddin pada aksi Liga Super di Stadium Likas. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


GUNA taktikal zaman 70-an iaitu 3-5-2 nyata membawa tuah buat pasukan Selangor apabila berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Sabah 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam.

Pengendali Red Giants, B Sathianathan berkata, meskipun ramai pihak mempersoalkan penggunaan taktikal lama itu dalam era moden sekarang, namun ia terbukti berhasil dengan anak buahnya berjaya memungut tiga mata penting.

Katanya, beliau tidak kisah dengan pandangan segelintir pihak yang mempertikaikan corak permainan pasukannya kerana yang lebih penting adalah meraih kemenangan.

"Saya beri pujian kepada pemain-pemain saya, bukan kerana taktik saya. Saya punya taktik semuanya lapuk. Tapi ini yang digunakan pada 70-an 3-5-2 dan sebagainya dan kita guna 3-5-2.

"Kalau ada orang kata 3-5-2 ini tak masuk akal, tapi kita berjaya dapat tiga mata. Saya akan cuba yang terbaik untuk Selangor," katanya.

Pada aksi itu, Sabah terlebih dulu mendahului menerusi percubaan pemain import, Rodoljub Paunovic berjaya melepasi jangkauan penjaga gol Selangor, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid pada minit ke-65.

Kegembiraan tuan rumah tidak kekal lama apabila hantaran lintang dari K Prabakaran pada minit ke-72 gagal ditepis kemas penjaga gol Sabah, Wan Azraie sebelum Ifedayo Olusegun pantas menyambar bola untuk mengikat kedudukan 1-1.

Syazwan Zainon yang dimasukkan pada awal separuh masa kedua cemerlang membuat hantaran lintang dari sebelah kanan untuk membuka ruang buat Ifedayo mencetak jaringan keduanya pada minit ke-81.

Kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat sekali gus memberikan kemenangan kedua Selangor buat musim ini dan menghapuskan rekod tanpa kalah skuad Badak Sumbu di Stadium Likas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 9:42 PM